Expired : 18.06.18

Papa mama jadi 'pengantin' semula

IMPIAN pasangan guru untuk bersanding di pelamin dan makan beradab terpaksa digantikan ibu bapa mereka selepas seorang daripadanya dimasukkan ke hospital pada hari persandingan, Ahad lalu.


Guru Bahasa Inggeris, Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 5 (1), Fatheen Afiqah Jeffry, 27, berkata, malam sebelum kejadian suaminya yang juga Guru Pendidikan Khas, SK Bandar Temerloh, Pahang, Amirudin Abdul Kassim, 28, mengadu sakit perut.


“Pada mulanya, kami ingat sakit itu mungkin disebabkan masuk angin akibat lewat makan susulan sibuk dengan majlis pernikahan kami pada pagi itu.


“Namun pada hari persandingan kami, sakitnya semakin melarat sehingga dia tak mampu nak bangun.


“Apabila saya bawa suami ke Hospital Putrajaya, doktor terus masukkan dia di zon semi kritikal.


“Kami cuba menyembunyikan perkara ini berikutan tidak mahu mama dan papa risau namun doktor memaklumkan suami terpaksa ditahan untuk beberapa hari kerana ada batu karang di dalam pundi hempedu,” katanya ketika dihubungi hari ini.


Fatheen Afiqah berkata, dia dan suami tidak mempunyai pilihan lain berikutan semua persiapan sudah dibuat.


“Jadi saya minta papa (Jeffry Azmi Nasruddin, 52) dan mama (Zainah Abu Bakar, 52) berlakon sebagai pengantin untuk ganti kami.


“Tetamu juga tidak diberitahu sehinggalah pengacara majlis memaklumkan perkara itu ketika mama dan papa berarak ke dalam dewan. Masa itu mereka kata semua orang di dalam dewan terkejut.


“Habis saja kenduri rakan datang ke hospital melawat kami,” kata anak sulung daripada dua beradik itu.


Dalam pada itu, Fatheen Afiqah berkata, walaupun sedih berikutan tidak dapat bersanding namun, dia reda dengan apa yang berlaku.


“Sanding tak penting janji saya dan suami sudah selamat bernikah. Itu pun sudah buat kami bersyukur.


“Insha-Allah, kami akan bersanding pada majlis lelaki di Jerantut Pahang Oktober ini.


“Apa yang penting suami saya selamat dan dia baru saja selesai menjalani pembedahan ERCP (endoscopic retrograde cholangio-pancreatography) di Hospital Selayang semalam,” katanya yang bertemu jodoh dengan suaminya di Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas, Cheras.


Norlida Ishak Shop