v Parma hampiri slot Europa
Expired : 18.06.18

Parma hampiri slot Europa

PARMA menghampiri pemburuan tempat beraksi di Liga Europa dengan kemenangan 2-0 ke atas Lecce pagi ini, sekali gus membolehkan bekas juara Piala UEFA itu berada di kedudukan ketujuh dalam carta Serie A Itali.

Pemain pertahanan, Simone Iacoponi menanduk masuk gol berpunca daripada sepakan sudut Hernani selepas hampir satu jam sebelum Andreas Cornelius menambah gol kedua hanya selepas dimasukkan sebagai pemain gantian pada minit ke 72.

Gervinho yang melakukan gerakan solo melepasi pemain pertahan Lecce hampir menjaringkan gol ketiga namun dinafikan penjaga gol lawan dari Brazil, Gabriel.

Parma memintas Torino dan kini hanya satu mata di belakang pasukan di tangga ke enam Cagliari, yang memburu slot akhir Liga Europa.

AC Milan dan Napoli ketinggalan empat mata di belakang berada di kedudukan 10 dan 11.

"Kami terpaksa menukar diri kami selepas kekalahan berdepan Atalanta," kata Iacoponi selepas pasukannya tewas 5-0 kepada Atalanta pada perlawanan sebelum ini.

Semasa era emas kelab itu pada 1990-an mereka memenangi Piala UEFA dua kali, Piala Super Eropah dan Piala Juara-Juara Eropah. Namun tidak bersaing di kejohanan Eropah sejak 2007.

Mereka layak pada saingan Liga Europa 2014-15, namun dinafikan lesen UEFA kerana lewat membayar cukai sekitar 300,000 Euro (RM1.3 juta).

Kelab berkenaan diisytihar bankrap dan tersingkir ke Serie D pada 2015, kembali ke liga utama selepas tiga kali berturut-turut dinaikkan pangkat ke liga utama. Mereka menamatkan musim lalu di tangga ke-14.