Expired : 18.06.18

PAS seru umat Islam dirikan solat hajat bantu pencarian Koperal Asman


Oleh : Mustaman Bin Mustain

14 Februari 2020


SANDAKAN : Yang Dipertua PAS Sandakan, Sahar Abdul Majid menyeru umat Islam khususnya dalam daerah ni mendirikan solat hajat pada setiap kali selepas solat fardu ataupun pada waktu sesuai.



Ia dibuat bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) atas kehilangan Koperal Asman Ongkal, anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 15, Sandakan yang terlibat dengan tragedi bot karam awal pagi semalam.


“Selain melaksanakan operasi SAR, sebagai umat Islam kita juga perlu mengharapkan pertolongan Allah lebih-lebih lagi dalam situasi genting seumpama ini,” katanya yang ditemui pagi tadi di Bandar Indah, dekat sini.



Pihaknya turut mengalu-alukan orang ramai menghulurkan sumbangan kewangan melalui pihak mereka di akaun Bank Islam PAS Kawasan Sandakan, 10043010003627 yang akan diserahkan kepada mangsa dalam masa terdekat.


Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah bersama AJK PAS Sandakan juga telah menziarahi mangsa di Hospital Duches of Kent (HDOK) dan bertemu waris mangsa bagi menyatakan simpati serta sokongan moral.



Perkembangan terkini operasi SAR bagi kehilangan Asman diperluaskan kepada 49 batu nautika ekoran mangsa yang masih belum ditemui sehingga tengah hari tadi.


Pada kejadian kira-kira 5.40 pagi semalam, Asman Ongkal, 40 tahun dilapor hilang ketika menyelamat beberapa mangsa lain, termasuk seorang anaknya selepas bot dinaiki dalam perjalanan dari Kampung Pulau Tanjung Aru, ke Jeti Pasar Umum Sandakan, karam kerana melanggar sebuah bot yang ditunda.


Dua lagi kritikal dirawat di Unit Rawatan Rapi, manakala seorang lagi separa kritikal dirawat di Wad Pembedahan Wanita, HDOK.


The post PAS seru umat Islam dirikan solat hajat bantu pencarian Koperal Asman appeared first on Berita Parti Islam Se Malaysia (PAS).