v Pasangan yang teristimewa [METROTV]
Expired : 18.06.18

Pasangan yang teristimewa [METROTV]

ZAHIRNYA, Mohd Rizal Razali, 41 mempunyai kekurangan fizikal akibat penyakit Cerebral Palsy (CP) yang menyebabkannya bergerak dengan bantuan kerusi roda.

Begitu juga dengan isterinya, Norawani Che Hassan, 40, yang tergolong dalam kategori Orang Kurang Upaya (OKU ) kerana mengalami masalah pembelajaran sajak lahir.

Namun, kedua-duanya mempunyai keistimewaan tersendiri dan sering diundang menjadi penceramah motivasi untuk pelbagai program di samping menjalankan perniagaan makanan.

Bercerita lanjut, Mohd Rizal berkata, rutin hariannya adalah menjadi tenaga pengajar al-Quran dan Iqra’ di rumah, surau dan masjid sekitar kawasan perumahan serta berhampiran.

Katanya, jika ada kelapangan, barulah dia dan isteri memenuhi undangan penganjur untuk menjadi penceramah bagi program motivasi.

MOHD Rizal dan Narawani adalah pasangan OKU yang menjadi penceramah motovasi. FOTO Rosela Ismail

“Saya dilahirkan ketika berusia lapan bulan dan disahkan OKU oleh doktor ketika berumur setahun.

“Sejak itu, ibu yang menguruskan saya termasuk memakaikan baju dan lain lain-lain lagi namun saya mula belajar berdikari selepas dihantar ke Pusat Pemulihan Cheras (PPC) pada umur 14 tahun.

“Banyak yang saya belajar di situ dan Alhamdulullah, saya sudah mula mengajar al-Quran di usia 20 tahun kemudiannya menjadi guru di sekolah agama sebelum menyambung pengajian di Mesir,” katanya ketika ditemui Harian Metro di rumahnya di Taman Jenaris, Kajang, hari ini.

Di sebalik ujian dilalui, Mohd Rizal bersyukur kerana Allah memberinya kekuatan untuk berusaha mencari rezeki tanpa bergantung dengan individu sekeliling.

Selain itu, Mohd Rizal juga berasa bertuah kerana memiliki keluarga , rakan dan dijodohkan dengan pasangan yang sekufu dengannya.

“Tidak dinafikan, ada yang mempersoalkan kemampuan saya untuk berkahwin tetapi saya tekad kerana memikirkan siapa yang akan menjaga diri ini di kemudian hari.

“Jodoh pertemuan Allah SWT yang tentukan dan pada Disember 2015, saya mendirikan rumah tangga dengan isteri yang mana kami berkenalan di kumpulan WhatsApp serta hanya berkawan dalam tempoh singkat iaitu tiga bulan saja.

“Sebelum berkenalan dengan isteri, saya pernah berkawan dengan wanita bukan OKU tetapi apabila mahu melamarnya, dia beri alasan keluarga tidak menerima saya.

“Saya reda dan ternyata, Allah beri yang lebih baik dengan menyatukan saya dengan insan sekufu serta lebih memahami walaupun kami berlainan kategori,” katanya.

MOHD Rizal bersama Norawani membaca al-Quran ketika meluangkan masa bersama. FOTO Rosela Ismail

Sementara itu,Norawani mengakui rasa rendah diri akibat kekurangannya satu ketika dulu tetapi keyakinannya bertambah selepas mendapat galakan daripada suami.

“Sebenarnya, saya tahu yang diri saya mengalami masalah pembelajaran agak lewat iaitu ketika berumur 29 tahun dan ia mungkin kerana tiada pendedahan pada peringkat awal.

“Keadaan itu menyebabkan saya rasa kecil dan pernah juga menerima ejekan daripada orang sekeliling disebabkan kekurangan diri.

“Selepas berkahwin,saya perlahan-lahan bangkit dan suami yang banyak memberi sokongan untuk jadi lebih yakin.

“Kalau boleh, saya mahu bantu lebih ramai golongan istimewa untuk bangkit sekurang-kurangnya dapat berdikari menerusi perkongsian dalam program motivasi ,” katanya.