v PATI: Dalang di Sabah diburu
Expired : 18.06.18

PATI: Dalang di Sabah diburu

KOTA KINABALU, 14 Jamadilakhir 1441H, Sabtu – Dalang yang membantu kemasukan Pendatang Tanpa Izin (PATI) akan diburu, dalam usaha menangani kemasukan PATI menerusi laluan tikus di perairan negeri ini, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman.

Katanya, pesisir pantai di timur Sabah yang luas sepanjang 1,700 kilometer, menyebabkan wujudnya laluan tikus, yang digunakan dalang dari dalam negara, membawa masuk PATI.

“Inilah kekangan kita hadapi dari dahulu lagi, dalam menangani kemasukan PATI ke negeri ini, apabila ada dalang dari dalam membantu PATI.

“Saya memberi amaran, akan memburu mereka dan jika didapati memberi kerjasama kepada PATI, akan diambil tindakan tegas mengikut lunas undang-undang yang ada,” katanya ketika menyertai operasi penguatkuasaan, Jabatan Imigresen Sabah di ibu negeri, malam tadi.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Imigresen Sabah Datuk Dr Muhamad Sade Mohamad Amin.

Mohd Azis yang juga Ahli Parlimen Sepanggar berkata, pihak berkuasa di bawah kementeriannya iaitu Polis dan Jabatan Imigresen tahu beberapa laluan tikus yang sering digunakan PATI masuk ke negeri ini.

“Disebabkan kawasan pesisir pantai yang luas di timur negeri, ini mewujudkan banyak lagi laluan tikus yang kita tidak tahu.

“Inilah tempat perlu kita cari dan cuba tutup laluan tikus ini, dalam menghalang kemasukan PATI ke negeri ini,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Azis berkata sepanjang tahun lepas, Jabatan Imigresen Sabah telah melaksanakan 1,199 operasi penguatkuasaan terhadap PATI di negeri ini, dan seramai 28,555 orang diperiksa.

Katanya daripada jumlah itu, 4,180 PATI dan 23 majikan ditangkap, serta 12,230 PATI diusir balik ke negara asal mereka.

Beliau berkata ini satu pencapaian memberangsangkan dan mahu ia diteruskan untuk memburu PATI serta mengusir lebih ramai golongan itu balik ke negara asal mereka.- Bernama

The post PATI: Dalang di Sabah diburu appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.