Expired : 18.06.18

PBB dakwa askar GNA tembak penghuni kem pelarian di Tripoli

Kerajaan Kebangsaan Libya di Tripoli

LIBYA, 2 Zulkaedah 1440H, Jumaat – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendakwa mempunyai maklumat bahawa pengawal Kerajaan Kebangsaan (GNA) melepaskan tembakan ke arah pendatang dan pelarian yang menyelamatkan diri daripada serangan udara, menyebabkan sekurang-kurangnya 60 orang maut dan lebih 77 lagi cedera di Tripoli.


Bagaimanapun pengawal keselamatan GNA menafikan tuduhan itu.


Dua serangan udara mengenai garaj dan hangar menempatkan lebih 120 pendatang dan pelarian di tengah Tajoura di timur Tripoli lewat Selasa lalu, lapor Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA).


“Terdapat laporan bahawa susulan serangan pertama, sesetengah pelarian dan pendatang ditembak oleh pengawal keselamatan ketika mereka cuba melarikan diri,” kata OCHA.


Mayat masih dijumpai di bawah runtuhan, termasuk enam kanak-kanak dan wanita. Jumlah kematian pula dijangka meningkat, lapor agensi PBB itu, sambil menegaskan bahawa kira-kira 500 pendatang dan pelarian masih ditahan di pusat tahanan Tajoura.


Libya menjadi salah satu titik pendatang dan pelarian Afrika menuju Eropah menggunakan bot, tetapi ramai yang dihalang oleh pengawal pantai Libya dan ditahan di Tripoli.


Kementerian Dalam Negeri GNA turut menafikan dakwaan OCHA, sambil menegaskan adalah tidak jelas sama ada pengawal keselamatan menembak ke arah pendatang dan pelarian, atau ke udara.


Sebelum ini, GNA menyalahkan Tentera Kebangsaan Libya (LNA) diketuai Jeneral Khalifa Haftar kerana melancarkan serangan udara ke atas kem pelarian itu.


LNA menafikan tuduhan itu sambil berkata, mereka menyasarkan kedudukan pasukan separa tentera GNA, bukan garaj dan hangar yang menempatkan pelarian.


Tentera Haftar melancarkan serangan berterusan untuk menawan Tripoli yang dikuasai GNA sejak April lalu.


Tentera LNA menawan sedikit demi sedikit kawasan di pinggir bandar dan kini kedudukan mereka kurang 18 kilometer sahaja dari Tripoli.


Tentera Jeneral Khalifa menguasai sepenuhnya kawasan timur Libya, menawan wilayah padang pasir yang kurang dihuni, bergerak ke selatan, sebelum melancarkan serangan ke atas Tripoli sejak 4 April lalu. – Agensi


The post PBB dakwa askar GNA tembak penghuni kem pelarian di Tripoli appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop