Expired : 18.06.18

Peguam: Bukan sampai penjara, bapa Adib minta peguam negara mohon maaf

Mohamed Haniff Khatri Abdulla memohon supaya peguam negara membuat permohonan maaf disertai akujanji supaya tindakan sedemikian tidak berulang lagi. — Foto oleh Zuraneeza Zulkifli
Mohamed Haniff Khatri Abdulla memohon supaya peguam negara membuat permohonan maaf disertai akujanji supaya tindakan sedemikian tidak berulang lagi. — Foto oleh Zuraneeza Zulkifli

SHAH ALAM, 9 Ogos — Mahkamah Koroner hari ini membenarkan Peguam Kanan Persekutuan hadir dan berhujah semasa pendengaran permohonan perintah komital yang difailkan keluarga anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim, Julai lepas.

Koroner Rofiah Mohamad membuat keputusan itu selepas berpuas hati dengan hujahan peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla mewakili keluarga Muhammad Adib dan peguam kanan persekutuan S. Narkunavathy dalam prosiding hari ini.


“Peguam kanan persekutuan boleh hadir pada pendengaran itu nanti dan menyatakan bantahan terhadap permohonan komital ini yang mana akan didengar sebagai ‘opposed ex-parte’.


“Peguam kanan persekutuan juga boleh membantu mahkamah dengan berhujah berkaitan isu undang-undang sahaja,” katanya.


Rofiah berkata mahkamah juga tidak akan merujuk kepada dua afidavit yang difailkan pihak peguam negara dan pegawai pengendali inkues sebelum ini, Hamdan Hamzah.


Beliau kemudiannya menetapkan 21 Ogos sebagai tarikh pendengaran permohonan perintah komital itu.


Permohonan perintah komital ex-parte (sebelah pihak) itu difailkan oleh bapa Muhammad Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid, 64, pada 16 Julai lepas melalui Tetuan Mohd Zubir Embong dan Associate di Mahkamah Koroner.


Dalam permohonan itu, beliau mendakwa Peguam Negara Tommy Thomas telah membuat  penghinaan terhadap mahkamah menerusi afidavit yang difailkan oleh Jabatan Penguam Negara pada 3 April lepas yang mana menyatakan kematian Muhammad Adib bukanlah dipukul.


Pada 24 Julai lepas, Tommy berkata pihaknya tidak pernah mengeluarkan arahan kepada bekas Timbalan Pendakwa Raya, Hamdan Hamzah untuk memfailkan afidavit di Mahkamah Rayuan berhubung punca kematian Muhammad Adib.


Tommy berkata demikian dalam jawapannya kepada permohonan ex-parte (sebelah pihak) yang dibuat bapa Muhammad Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid pada 16 Julai lepas.


Terdahulu, pada prosiding hari ini, Narkunavathy, yang mewakili Peguam Negara menyifatkan perintah komital adalah serius memandangkan antara hukuman yang boleh dikenakan terhadap perbuatan menghina mahkamah adalah penjara.


Namun, Mohamed Haniff Khatri pula berkata permohonan komital yang difailkan keluarga Muhammad Adib bukanlah untuk memenjarakan peguam negara sebaliknya bagi menuntut permohonan maaf daripada Tommy kepada mahkamah dan keluarga.


Katanya, dalam prosiding inkues, tiada pihak berhak mempunyai pendirian sehingga prosiding berkenaan selesai.


Dalam pada itu, Mohamed Haniff Khatri yang ditemui pemberita di luar mahkamah sekali lagi memohon supaya peguam negara membuat permohonan maaf itu disertai akujanji supaya tindakan sedemikian tidak berulang lagi.


“Sekiranya didapati peguam negara menghina mahkamah, kami cuma mahu peguam negara meminta maaf kepada keluarga dan mahkamah. Ia mesti dilakukan kerana sistem keadilan perlu ditegakkan dan kedaulatan undang-undang harus dihormati.


“Kita mahu semua sistem pentadbiran negara, Parlimen, kehakiman, guaman, jabatan awam, mematuhi kedaulatan undang-undang, itu saja. Ia tidak berkait langsung dengan keputusan inkues kelak,” katanya.


Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lepas dan menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember di Institut Jantung Negara. — Bernama


Norlida Ishak Shop