Expired : 18.06.18

Peguam Negara lindungi empat individu kes Adib: Lokman Adam


BANGI, 17 Rejab 1440H, Ahad – Pengerusi Sekretariat Suara Rakyat, Datuk Lokman Noor Adam menuduh Peguam Negara memberi ‘perlindungan khas’ kepada empat individu yang baru-baru ini, dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan berhubung kes anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.


Sehubungan itu, beliau meminta Peguam Negara, Tommy Thomas menjelaskan kepada rakyat Malaysia bagaimana ketika Adib cedera parah, laporan perubatan mengatakan beliau cedera kerana dipukul.


“Tetapi apabila Adib meninggal dunia, tiba-tiba beliau mahu diisytiharkan mati akibat kemalangan?,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi sebagai mengulas pengesahan diberikan seorang doktor Institut Jantung Negara (IJN), Dr Ahmad Hafizam Hasmi, bahawa corak kecederaan pada badan arwah Adib tidak sepadan akibat dipukul, ditendang atau ditumbuk.


Dr Ahmad Hafizam yang juga saksi ke-24 inkues kematian Adib, memberitahu Mahkamah Koroner, kelmarin bahawa bedah siasat terhadap mangsa mendapati kecederaan pada bahagian toraks bukanlah kecederaan yang sering atau kebiasaannya dilihat akibat dipukul dengan objek tumpul atau ditendang atau ditumbuk.


“Pada pandangan saya, corak kecederaan yang dialami si mati adalah tidak berpadanan akibat dipukul. Selain itu, tiada apa-apa kecederaan pada bahagian muka, kepala, abdomen, anggota atas dan bawah yang berpadanan dengan cedera akibat dipukul atau mempertahankan diri dijumpai pada jasad si mati.


“Berdasarkan corak kecederaan luaran dan dalaman yang dikesan pada Adib, saya dan pasukan telah dimohon hadir untuk membantu rekonstruksi kejadian yang telah dilakukan pihak polis pada 22 Disember tahun lepas,” katanya yang menjalankan bedah siasat ke atas Adib pada 18 Disember tahun lalu.


Mengulas lanjut, Lokman berkata, empat individu ‘istimewa’ yang yang diberikan ‘perlindungan khas’ oleh Peguam Negara akan terlepas daripada tali gantung selepas Inkues berkemungkinan akan merubah punca kematian Adib daripada cedera akibat dipukul, kepada cedera akibat kemalangan.


Pada masa sama, beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO mendakwa Ahli Parlimen Kangar (PKR), Noor Amin Ahmad telah menggertak seorang jururawat yang menulis di Facebooknya mengenai keadaan Adib ketika dibawa ke IJN.



“Hari ini saya menerima beberapa “screen shot” perbualan Whatsapp YB Amin, Ahli Parlimen PH Kangar dengan seorang wanita bernama Miera, seorang kakitangan IJN yang merawat arwah Adib, ahli bomba kita.


“Di peringkat awal, sebaik sahaja seorang doktor pakar dari IJN, Dr Ahmad Hafizam membuat kenyataan bahawa tiada kesan dipukul pada tubuh Adib, Miera telah menyatakan keadaan sebenar Adib semasa arwah sampai di IJN yang jelas menunjukkan bahawa arwah Adib cedera bukan disebabkan kemalangan sepertimana kenyataan Dr Ahmad Hafizam.


“Malangnya, hari ini apabila YB Amin mengertak Miera untuk memberikan kenyataan beliau di dalam inkues, Miera yang ketakutan akhirnya menukar kenyataan beliau dan telah menutup akaun FB beliau,” kata Lokman sambil memuat naik ‘screen shot’ WhatsApp berkenaan di Facebook beliau.


Beliau turut memberi amaran akan mengadili Tommy dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng jika Barisan Nasional (BN) kembali memerintah.



The post Peguam Negara lindungi empat individu kes Adib: Lokman Adam appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop