Expired : 18.06.18

PeKa B40 mula esok: KKM


PUTRAJAYA, 8 Syaaban 1440H, Ahad – Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini memaklumkan, Skim Peduli Kesihatan Untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) akan bermula esok di seluruh negara.


Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, sebagai permulaan, PeKa B40 akan melalui fasa ujian operasi di mana KKM akan menilai kelancaran logistik serta mendapatkan maklum balas daripada semua pemegang taruh yang terbabit.


Beliau berkata, selain manfaat utama iaitu saringan kesihatan, PeKa B40 turut memberikan bantuan alat perubatan; insentif melengkapkan rawatan kanser; serta tambang pengangkutan.


“Menerusi PeKa B40, penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) dan pasangannya yang berdaftar, berumur 50 tahun dan ke atas dalam tahun ini layak secara automatik untuk menyertai skim ini.


“Ia adalah percuma dan tiada pendaftaran khusus diperlukan. Semakan kelayakan dan pelbagai maklumat lanjut boleh didapati di laman web PeKa B40 di www.pekab40.com.my atau menghubungi 03-2730 7575,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Dzulkefly berkata, PeKa B40 memberi fokus kepada jalinan kerjasama awam-swasta dalam membantu kumpulan B40 dengan mengutamakan perkhidmatan klinik perubatan swasta umum (GP) yang sudah berdaftar.


“Penerima yang layak boleh menjalankan saringan kesihatan di klinik GP yang memaparkan pelekat khusus PeKa B40. Pada masa sama, lain-lain klinik GP diminta untuk berdaftar secara atas talian untuk turut menjadi Klinik PeKa B40.


“Ia bagi memudahkan penerima skim ini menjalankan saringan kesihatan di klinik-klinik yang berhampiran dengan mereka. Pendaftaran sebagai Klinik PeKa B40 akan berterusan selama skim ini berjalan,” katanya.


Sehingga 12 April, sebanyak 423 klinik GP telah berdaftar bagi skim PeKa B40 sebagai ‘Klinik PeKa B40’. Senarai penuh boleh diperoleh di laman web PeKa B40 di www.pekab40.com.my.


The post PeKa B40 mula esok: KKM appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop