Expired : 18.06.18

Pekerja spa ditahan buat laporan palsu dakwa disamun

ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata wanita itu ditahan malam tadi selepas didapati suspek dan teman lelakinya merancang kejadian itu. — Foto oleh Sayuti Zainudin
ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata wanita itu ditahan malam tadi selepas didapati suspek dan teman lelakinya merancang kejadian itu. — Foto oleh Sayuti Zainudin

BUKIT MERTAJAM, 8 Okt — Polis menahan seorang pekerja spa kerana dipercayai membuat laporan palsu mendakwa dirinya disamun semasa membawa wang tunai berjumlah RM17,360 milik majikannya di Bandar Sunway, Seberang Jaya di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata wanita berusia 22 tahun itu ditahan kira-kira pukul 8.00 malam tadi selepas siasatan polis mendapati suspek dan teman lelakinya merancang kejadian samun itu.


“Polis pada awalnya menerima laporan daripada wanita itu berhubung kejadian samun kira-kira pukul 11 pagi semalam ketika dia balik dari sebuah bank untuk mengambil duit syarikat spa bagi membayar gaji pekerja,” katanya di sini hari ini.


Katanya wanita itu mendakwa beg galasnya telah ditarik oleh seorang lelaki yang merupakan penunggang sebuah motosikal berwarna biru yang datang dari arah belakang ketika dia berjalan kaki menuju ke kereta selepas selesai urusan di bank.


“Hasil siasatan lanjut polis mendapati pekerja spa itu membuat laporan palsu berhubung kejadian samun berkenaan malah wang syarikat itu sebenarnya digunakan suspek untuk membeli belah bersama teman lelakinya,” katanya.


Nik Ros Azhan berkata berdasarkan siasatan, wanita itu ditugaskan oleh majikannya pada setiap bulan untuk mengambil wang syarikat di bank untuk pembayaran gaji pekerja di spa itu.


“Kejadian samun itu telah dirancang bersama teman lelakinya berusia 22 tahun yang telah menghilangkan diri dengan wang berkenaan, dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan,” katanya.


Beliau berkata polis turut menahan seorang remaja lelaki berusia 19 tahun kira-kira pukul 3.00 pagi tadi selepas suspek mendakwa remaja itu turut terlibat dalam perancangan samun namun siasatan lanjut mendapati remaja itu tidak terlibat dan hanya dipergunakan suspek untuk melepaskan dirinya.


Menurutnya wanita itu kini direman selama empat hari untuk siasatan lanjut dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan. — Bernama


Norlida Ishak Shop