Expired : 18.06.18

Pelajar UTM, Penduduk Bentuk Gandingan Mantap Indahkan Desa Bakti

130 PELAJAR CERIAKAN PERUMAHAN STAF DALAM 5ETP VOLUNTEER@DESA BAKTI


Johor Bahru – Kehadiran 130 pelajar UTM dari pelbagai kaum memberi sinar kegembiraan kepada para penduduk Perumahan Desa Bakti UTM, baru-baru ini.


Peserta 5ETP Volunteer@Desa Bakti bergambar kenangan sebelum program bermula

Program sehari yang dinamakan 5ETP Volunteer@Desa Bakti ini berkonsepkan pelestarian dan gotong-royong ini melibatkan pelbagai aktiviti seperti mengecat dan mencantikkan surau, rumah, laman hiasan serta membersihkan longkang dan rumput di hampir seluruh kawasan perumahan tersebut. Selain itu mereka juga mencantas dan menanam pokok di beberapa kawasan sekitar.


Kegembiraan jelas terpancar di wajah Muhammad Nur Shukry  Mohd Yazid (tengah) bersama peserta lain

Desa Bakti merupakan kawasan perumahan milik UTM sebanyak 200 unit yang disediakan kepada staf universiti terutama kepada Staf Kumpulan C dan D. Sepanjang program ini hampir 80 orang penduduk terlibat dalam kerja-kerja gotong royong yang juga melibatkan penyediaan jamuan untuk semua peserta terlibat.


Pengarah program, Muhammad Nur Imran Abdul Rashid berkata matlamat utama program adalah untuk memberi peluang kepada pelajar dan semua peserta mengenali dan mencurah bakti di persekitaran universiti ini melalui penganjuran program berkonsepkan sosial, kebajikan dan keceriaan.


“Pada masa sama program ini dapat merapatkan hubungan dan kerjasama bukan sahaja di kalangan peserta tetapi juga dengan penduduk perumahan Desa Bakti,” ujarnya.


Syed Mohammad Hafiz Syed Shamsuddin Syed yang juga Timbalan Presiden Kelab Volunteer UTM pula sangat teruja dengan kesatuan hati dan kerjasama erat gabungan pelajar dari pelbagai bangsa dan persatuan dalam memastikan kawasan Universiti Teknologi Malaysia yang lebih bersih dan cantik.


Turut hadir di sepanjang program ini ialah Pengarah UTM Sustainability, Prof. Madya Dr. Mohd Fadhil Mohd Din yang menyempurnakan acara perasmian, Dekan Pengajian Prasiswazah, Prof. Dr. Zaki Kamsah, Penghulu Perumahan Desa Bakti, Abdul Aziz Latiff dan para pegawai Pejabat Hal Ehwal Pelajar.



APA KATA MEREKA?



Saya terlibat dalam pasukan FESKO 61 tetapi memilih untuk sertai program ini untuk rehat sikit. Mula-mula kami dibahagikan dalam kumpulan-kumpulan kerja dan rakan-rakan dalam kumpulan saya sangat mesra dan ini memudahkan tugasan kami

-Divyaseri Suresh



 

“Pembahagian kumpulan sangat efisyen, alatan pun cukup dan yang penting jamuan yang disediakan sedap!


-Wong Wai Hong



“Pengalaman baru yang sangat mengujakan saya. Hidup di bandar membataskan peluang saya untuk bercucuk tanam seperti ini dan saya banyak belajar bagaimana nak tanam dan suburkan pokok. Keseluruhannya program ini sangat bermanfaat dan saya dapat banyak ilmu baru”

“-Ameera Irdena Suyansah



Norlida Ishak Shop