v Pelayar ubat duka
Expired : 18.06.18

Pelayar ubat duka

DUA kejayaan diraih pelayar kebangsaan dalam tempoh seminggu dianggap sebagai penebus kehampaan kem pelayaran pada temasya Sukan Sea Filipina lalu.

Kelmarin, dua pelayar wanita, Nuraisyah Jamil dan Juni Karimah Noor Jamali mengesahkan slot ke Olimpik Tokyo 2020 pada Kejohanan Perahu Layar International 470 Antarabangsa Asia di Shenzen, China.

Kejayaan atlet berusia 23 dan 17 tahun itu turut disusuli Olimpian negara, Khairulnizam Mohd Affendy yang meraih pingat emas bagi acara Laser Standard pada Kejohanan Perahu Layar Kebangsaan Abu Dhabi di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Jurulatih pelayaran kebangsaan, Mohd Afandy Abdullah mengaku puas hati dengan pencapaian tiga atlet sandaran itu selepas mengharungi kekecewaan di Filipina awal bulan ini.

“Bagi saya, Sukan Sea lalu adalah ujian namun ia kini terbukti bukan menjadi faktor penghalang untuk terus mencipta kejayaan. Kini, semua atlet hanya perlu kekal konsisten dan memberi fokus sepenuhnya untuk kejohanan lebih besar tahun depan,” katanya kepada Arena Metro.

KHAIRULNIZAM raih emas acara Laser Standard pada Kejohanan Perahu Layar Kebangsaan Abu Dhabi. FOTO Mohd Afandy Abdullah

Mohd Afandy berkata, latihan bagi semua atlet akan digandakan sebagai persiapan rapi menjelang Olimpik Tokyo.

“Ia turut merangkumi persediaan bagi menghadapi beberapa kejohanan berprestij seperti Regatta Langkawi dan Laser Dunia di Melbourne, Australia,” katanya.

Pada saingan International 470 wanita kelmarin, Nuraisyah dan Juni Karimah layak secara merit menerusi kelayakan Asia selepas mengetepikan pesaing terdekat dari Thailand dan Singapura.

Manakala, Khairulnizam membawa pulang emas dengan mengetepikan pencabar dari Hong Kong dan India pada hari sama.

Mereka antara empat pelayar negara yang sudah melayakkan diri ke Olimpik Tokyo selain seorang lagi pelayar sandaran, Nur Shazrin Mohamad Latif.

Untuk rekod, skuad pelayaran meraih dua perak antaranya menerusi gandingan Muhammad Fauzi Kaman Shah/Umar Al Farouk dalam acara International 420 selain enam gangsa bagi keseluruhan 12 acara yang disertai pada Sukan Sea Filipina.