Expired : 18.06.18

Peluang United bangkit jumpa Newcastle

OLE Gunnar Solskjaer mengakui Manchester United berdepan laluan berliku ketika beliau cuba membentuk semula pasukan bermasalahnya, namun kunjungan ke Newcastle malam esok menawarkan peluang keemasan untuk menamatkan rekod buruk di gelanggang lawan.


Keputusan hambar seri tanpa jaringan pada aksi Liga Europa di AZ Alkmaar awal pagi semalam menyaksikan mereka tidak menang 10 aksi terakhir di tempat lawan.


Mereka tidak menang di gelanggang lawan sejak kemenangan dramatik Liga Juara-Juara menentang Paris Saint-Germain, Mac lalu.


United pernah mengharungi rekod buruk di tempat lawan apabila gagal menang 11 perlawanan berturut-turut antara Februari dan September 1989 – era yang dianggap antara tempoh terburuk dalam sejarah kelab itu.


UNITED seri 1-1 dengan Arsenal minggu lalu hasil jaringan McTominay. — FOTO premierleague.com



Anak buah Solskjaer tidak kelihatan mampu menamatkan kemarau itu ketika mereka gagal melakukan percubaan tepat di gelanggang tiruan menentang Alkmaar.


Bekas penyerang United itu gagal mendorong banyak gol daripada penyerangnya, ketika kekurangan kreativiti di bahagian tengah menjadi masalah utama.


Malah Solskjaer mengakui United tidak lagi digeruni lawan mereka seperti dalam era 27 tahun Alex Ferguson mengendalikan kelab itu.


“Kami bukannya berada di era 90-an sekarang jadi ia era berbeza, kelompok pemain berbeza yang kami cuba bina,” kata Solskjaer selepas aksi di The Hague.


LINGARD (kiri) mungkin tidak beraksi malam esok. — FOTO Reuters



Namun selepas mengalih tumpuan kepada pemain muda namun kurang berpengalaman termasuk Mason Greenwood dan Axel Tuanzebe, Solskjaer sedia membuktikan keyakinan kepada pemain muda jalan terbaik buat United untuk kembali ke zaman kegemilangan Ferguson.


“Kami sedar ada turun dan naik. Saya bersedia melihat pemain muda ini berkembang,” kata Solskjaer, yang mungkin tidak dapat menurunkan Paul Pogba dan Jesse Lingard yang cedera, malam esok.


Norlida Ishak Shop