Expired : 18.06.18

Pemandu lari selepas rempuh motosikal pelajar perempuan


TUMPAT, 4 Ramadan 1440H, Khamis – Dua pelajar perempuan maut selepas motosikal yang ditunggangi mereka dirempuh sebuah kereta yang terbabas dalam kejadian di Kampung Pasir Puteh, di sini, hari ini.


Mangsa yang maut adalah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Chabang Empat di sini dikenali sebagai Nor Asmida Ellyana Abdullah dan rakannya Siti Nor Hanim Alya Hamid, yang kedua-duanya berusia 17 tahun.


Dalam kejadian jam 7.24 pagi itu, kedua-duanya menunggang motosikal berasingan untuk ke sekolah sebelum dirempuh kereta berkenaan menyebabkan Nor Asmida Elyana maut di tempat kejadian, manakala Siti Nor Hanim maut ketika menerima rawatan di Hospital Tumpat.


Seorang lagi mangsa, Puteri Balqis Abdullah, 13, yang juga adik kepada Nor Asmidar cedera parah dan kini dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.


Bapa kepada Siti Nor Hanim, Hamid Sulong, 63, berkata anaknya keluar dari rumah untuk ke sekolah pada jam 7 pagi tadi dan sempat bersalam dengannya.


“Selalunya saya yang akan menghantar dan menjemputnya ke sekolah tapi selepas sahur pagi tadi dia meminta izin untuk menunggang sendiri motosikal kerana ada peperiksaan dan ingin pulang awal ke rumah.


Saya membenarkannya sambil berpesan supaya menunggang dengan berhati-hati namun ini (kemalangan) yang berlaku..saya terima dengan reda,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Tumpat di sini hari ini.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud, berkata ketika kejadian kedua-dua mangsa menunggang motosikal Honda Dash dan Yamaha Ego S dari arah Pengkalan Kubor menghala untuk ke sekolah di Chabang Empat.


“Apabila sampai di tempat kejadian, sebuah kereta Honda Accord yang datang dari arah bertentangan hilang kawalan dan masuk ke arah bertentangan lalu merempuh mangsa.


Akibat kemalangan itu seorang mangsa maut di tempat kejadian, manakala seorang lagi meninggal dunia di Hospital Tumpat. Pembonceng motosikal yang parah dikejarkan ke hospital untuk rawatan,” katanya.


Katanya, pihaknya sedang menjejaki pemandu kereta yang merempuh tiga pelajar terbabit.


“Pemandu kereta itu menghilangkan diri selepas kejadian dan meninggalkan kenderaannya sejauh kira-kira 150 meter dari tempat kejadian kerana mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan,” katanya.


Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – Bernama


The post Pemandu lari selepas rempuh motosikal pelajar perempuan appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop