v Pemandu mabuk: Ahli politik ‘jijik’ jika tak sokong usul pinda akta
Expired : 18.06.18

Pemandu mabuk: Ahli politik ‘jijik’ jika tak sokong usul pinda akta

BANGI, 8 Syawal 1441H, Ahad – Ahli politik yang tidak menyokong usul pindaan akta hukuman lebih berat terhadap pemandu mabuk boleh dianggap sebagai pemimpin yang jijik.

Naib Pengerusi Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Cikgu Izzat Johari berkata, isu pemandu mabuk sudah melangkau puluhan tahun, namun tidak pernah selesai bahkan sejak kebelakangan ini menjadi-jadi.

“Daripada kerajaan terdahulu, ingin menggubal akta untuk meminda hukuman ke atas pemandu mabuk, kemudian tukar kepada kerajaan pertengahan, juga ada ‘sedikit’ usaha untuk menggubal undang-undang dan akhirnya kerajaan terkini, masih lagi mencadangkan untuk gubal undang-undang.

“Apakah nyawa mangsa dijadikan ‘tarikan’ sokongan kepada seseorang menteri?,” soalnya menerusi catatan di Facebook hari ini.

Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin memaklumkan sudah mengarahkan Kementerian Pengangkutan untuk merangka pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) supaya hukuman lebih berat dikenakan terhadap individu yang disabitkan dengan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah.

Perdana Menteri berkata, arahan itu sebagai maklum balas kepada keresahan rakyat mengenai kes kemalangan akibat pemandu mabuk yang mana statistik polis sepanjang lima bulan pertama tahun ini sebanyak 21 kes membabitkan pemandu mabuk dicatatkan yang mana lapan mangsa meninggal dunia.

Katanya, perkara itu sangat membimbangkan kerana jumlah yang direkodkan dalam tempoh lima bulan tahun ini menghampiri keseluruhan 23 kes yang dicatatkan sepanjang tahun lalu.

Dalam pada itu, Cikgu Izzat yakin tiada siapa pun mahu ahli keluarga mereka menjadi mangsa kemalangan jalan raya akibat pemandu mabuk.

“Sudah tiba masanya untuk Kerajaan Malaysia mengangkat cadangan Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) untuk mengharamkan industri ‘air kencing syaitan ini’ dan sekali gus bakal menyelesaikan seribu satu masalah sosial di negara Malaysia yang berpunca daripada arak,” katanya.

Isu pemandu mabuk di negara ini semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini. Dalam kejadian terbaharu, beberapa anggota polis yang bertugas di sekatan jalan raya nyaris dirempuh kenderaan yang dipandu lelaki dipercayai mabuk, berhampiran Queensbay, Bayan Lepas.

Sebelum itu, seorang pekerja syarikat kurier maut dilanggar individu di bawah pengaruh alkohol di kilometer 34.2 Lebuh Raya Persekutuan menghala Kuala Lumpur.

Sementara 22 Mei lalu, seorang lelaki memandu kenderaan pacuan empat roda secara berbahaya di sebuah tapak perniagaan di Bukit Sentosa, Rawang, Selangor menyebabkan lima orang cedera, sekali gus mencetuskan kemarahan pelbagai pihak.

Awal bulan lalu, seorang anggota polis yang bertugas di sekatan jalan raya di Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuh Raya Kajang-Seremban (LEKAS) maut selepas dilanggar sebuah pacuan empat roda, dipandu seorang lelaki yang disyaki mabuk.

The post Pemandu mabuk: Ahli politik ‘jijik’ jika tak sokong usul pinda akta appeared first on ismaweb.