Expired : 18.06.18

Pemandu mabuk: Pindaan akta pada sidang Dewan Rakyat ini

BANGI, 19 Jamadilakhir 1441H, Khamis – PAS meminta pihak mufti dan jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk mengemukakan pandangan berhubung pindaan hukuman terhadap pemandu mabuk sehingga menyebabkan kecederaan dan kematian orang awam.


Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihaknya percaya pandangan yang lebih holistik, termasuk dari perspektif Islam perlu diperhalusi kerana ia terkandung dalam aspek maqasid syariah dan penjagan nyawa manusia.


Beliau berkata, setakat ini Kementerian Pengangkutan hanya memfokuskan kepada beberapa pindaan membabitkan Seksyen 41 dan Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987, berkaitan hukuman denda serta penjara sahaja.


“Justeru, pihak mufti dan Jakim boleh menawarkan cadangan berasaskan konteks yang lebih tepat. Contohnya, adakah pemandu mabuk yang melanggar mati orang awam dianggap membunuh dengan niat atau tanpa niat dalam konteks perundangan Islam?


“Adakah wajar pesalah yang menyebabkan kematian orang awam dikenakan hukuman bunuh juga? Pandangan tersebut amat penting kerana kerana ia boleh menjadi asas pertimbangan terhadap pindaan akta nanti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.


Isu pemandu mabuk masih belum mendapat perhatian Kabinet, dan telah mengakibatkan banyak kematian termasuk kes seorang penunggang motosikal maut, manakala rakannya cedera selepas dirempuh pemandu disyaki mabuk dalam kejadian di Batu 10, Jalan Apas, Tawau, baru-baru ini.


Dalam kejadian jam 8.30 malam itu, mangsa Yusuf Hussin tercampak ke dalam semak dan disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah manakala rakannya Radjuddin Jamaluddin cedera.


Tuan Ibrahim berkata, setakat ini, hampir semua pihak bersetuju cadangan hukuman yang lebih keras perlu dikenakan terhadap pemandu mabuk, namun jenis hukuman masih menjadi perbahasan.


Ahli Parlimen Kubang Kerian itu turut berpendapat, satu kajian menyeluruh perlu dibuat, termasuk cadangan penggunaan instrumen kewangan insuran dan takaful sebagai ganti rugi kepada pihak mangsa.


“Cuma, adakah perkara tersebut dibolehkan sebagai ganti bagi konsep diyat? Perkara ini perlu turut dibincangkan oleh pihak berautoriti dalam urusan agama seperti mufti dan Jakim.


“Sementara itu, PAS mahu supaya pindaan akta ini mesti dilakukan dalam sidang Dewan Rakyat bulan Mac ini dan tidak ditangguhkan lagi kerana tempoh masa kajian sudah cukup panjang manakala ini adalah isu yang sangat mendesak,” katanya.


The post Pemandu mabuk: Pindaan akta pada sidang Dewan Rakyat ini appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.