Expired : 18.06.18

Pembalak haram ubah suai gergaji tiada bunyi [METROTV]

SEORANG lelaki bertindak licik apabila mengubah suai mesin gergaji tanpa bunyi bagi mengelak kegiatan memotong balak di Hutan Simpan Kekal Gunung Bongsu di Sungai Tengas, Kulim dikesan pihak berkuasa.


Bagaimanapun, taktiknya terbongkar apabila suspek berusia 47 tahun itu ditahan sepasukan anggota Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) jam 5 petang, kelmarin.


Pengarah JPNK, Roslan Rani berkata, anggotanya yang meronda sekitar sempadan hutan berkenaan menemui beberapa kayu dipotong mengikut saiz.


Menurutnya, pegawai dan anggota yang curiga mula menjejaki kesan laluan di situ.


“Pasukan berkenaan menemui lorong tikus iaitu laluan motosikal dengan kesan tayar masih baharu.


“Mereka berjalan sejauh 1.5 kilometer yang mengambil masa hampir satu jam sebelum menemui kelibat suspek memotong kayu,” katanya dalam kenyataan, di sini, semalam.


Roslan berkata, anggota merakam kegiatan lelaki terbabit yang mengubah suai mesin gergaji tanpa bunyi bagi mengelak kegiatannya dikesan pihak berkuasa.


“Suspek dipercayai melakukan kegiatan itu sejak minggu lalu dan menjual kayu berkualiti tinggi mengikut permintaan pasaran tempatan.


“Tinjauan mendapati ada beberapa pokok dengan kesan ditanda untuk ditebang.


“Suspek dipercayai menyasarkan pokok balak berkualiti tinggi seperti cengal, balau dan merbau,” katanya.


Katanya, setakat ini dua pokok cengal ditebang dan diproses dengan anggaran kerugian RM30,000.


“Suspek ditahan untuk membantu siasatan mengikut Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985,” katanya.


“Kegiatan mencuri kayu balak sukar dikesan berikutan modus operandi mereka iaitu melakukan kesalahan jauh ke dalam hutan selain mesin digunakan diubah suai tanpa bunyi,” katanya.


Katanya, orang ramai diminta menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti kesalahan hutan bagi memastikan pencerobohan hutan secara berleluasa dapat dibanteras.