Expired : 18.06.18

Pembeli Equanimity boleh berunding terus dengan kerajaan, 1MDB


KUALA LUMPUR, 7 Jamadilakhir 1440H, Selasa – Pihak yang berminat untuk membeli kapal layar mewah ‘Equanimity’, kini boleh juga berhubung dengan kerajaan dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selain broker pusat eksklusif, Burgess, demikian menurut peguam, Jeremy Joseph.


Joseph yang bertindak bagi pihak kerajaan serta 1MDB dan dua anak syarikatnya iaitu 1MDB Energy Holdings Limited dan 1MDB Global Investment Limited, berkata bagaimanapun Burgess masih kekal sebagai broker pusat berkenaan.


“Jadi sekarang mereka boleh datang dan berunding dengan kami (kerajaan dan 1MDB) secara terus, jadi perbicaraan hari ini adalah bagi memastikan arahan ini diberi dan dibuat dengan jelas. Mereka boleh menemui Burgess atau kami secara terus. Matlamatnya adalah untuk memaksimumkan pembelian berpotensi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas kes pengurusan dalam kamar di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Khadijah Idris di sini hari ini.


Kapal layar mewah ‘Equanimity’, milik Kerajaan Malaysia, akan dijual pada harga tidak kurang USD130 juta (RM543 juta), iaitu separuh daripada harga asalnya. Ia dilaporkan bernilai USD$250 juta (RM1 bilion).


Pada 24 Ogos, 2018, Mahkamah Admiralti membenarkan permohonan kerajaan, 1MDB serta ​​​​​​​1MDB Energy Holdings Limited dan 1MDB Global Investment Limited untuk menjual kapal layar mewah berkenaan.


Dalam permohonan itu yang difailkan pada 23 Ogos, keempat-empat plaintif dinamakan sebagai pemilik kapal berkenaan, Equanimity of Cayman Islands, sebagai defendan dalam saman yang difailkan menerusi firma guaman Jeremy Joseph & Partners.


Dalam notis permohonan itu, keempat-empat plaintif meminta agar dijual sahaja kapal itu beserta bunkers (kubu), minyak pelincir dan barang lain di dalam kapal itu yang akan dikendalikan menerusi tender awam atau perjanjian persendirian oleh syerif Mahkamah Admiralti.


Plaintif mahu syerif berkenaan menerima bida atau tawaran bagi kapal itu serta bunkers dan harga pembelian dibayar kepada syerif dalam bentuk US Dollars atau Euros atau Ringgit.


Pada 19 Oktober 2018 Mahkamah Admiralti mengisytiharkan bahawa ‘Equanimity’ adalah milik kerajaan Malaysia dan 1MDB sebagai benefisiari setelah pemilik berdaftarnya gagal hadir di mahkamah untuk menuntut kapal berkenaan dan yang kemudian kerajaan boleh menjual kapal itu.


Pada 26 Oktober 2018, mahkamah yang sama meluluskan terma dan syarat bagi proses pembidaan kapal berkenaan yang berkuatkuasa dari 29 Oktober hingga 28 November.


‘Equanimity’, didakwa dibeli oleh seorang ahli perniagaan Malaysia, Low Taek Jho atau Jho Low menggunakan wang yang dicuri dari skandal yang mengaibkan, 1MDB.


Kapal itu dirampas di Bali, Indonesia pada Februari sebelum diserahkan kepada kerajaan Malaysia pada Ogos.


Kapal layar besar itu dibawa ke Pelabuhan Klang pada 7 Ogos, 2018 selepas pihak berkuasa Indonesia menyerahkannya kepada Malaysia.


Ia dirampas berhampiran perairan Bali pada Februari, 2018 atas permintaan pihak berkuasa AS sebagai sebahagian daripada siasatan rasuah yang dilancarkan oleh Jabatan Kehakiman AS (DoJ) berhubung 1MDB.- Bernama


The post Pembeli Equanimity boleh berunding terus dengan kerajaan, 1MDB appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop