Expired : 18.06.18

Pembelian, penyelenggaraan aset tentera mula disiasat


KUALA LUMPUR, 4 Ramadan 1440H, Khamis – Siasatan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) ke atas Kementerian Pertahanan akan diteruskan dengan tumpuan beralih kepada aspek pembelian aset ketenteraan dan penyelenggaraan.


Pengerusi JKSTUPKK Tan Sri Ambrin Buang berkata, ini berikutan siasatan pertama ke atas kementerian berkenaan mengenai projek ‘land swap’ telahpun selesai dengan penerangan mengenai laporan akhir siasatan projek berkenaan dibentang Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu pada sidang Dewan Negara, di sini hari ini.


“Hari ini kami baharu selesai dengan isu ‘land swap’, kami akan beralih kepada isu lain seperti perolehan aset, penyelenggaraan dan lain-lain, kami akan terus memaklumkan kementerian mengenainya,” katanya pada sidang media yang turut disertai Mohamad di lobi Parlimen, di sini, hari ini, sebaik penerangan mengenai laporan akhir siasatan berkenaan selesai dibentang.


Ambrin berkata, siasatan berkenaan dijalankan bagi memastikan pelaksanaan projek-projek kerajaan dapat dilaksanakan dengan teratur, selaras dasar kerajaan Pakatan Harapan untuk meningkatkan ketelusan dalam tadbir urus kerajaan.


Mohamad ketika menerangkan laporan akhir berkenaan menarik perhatian Anggota Dewan Negara bahawa anggaran kerugian atau ketirisan hasil kerajaan menerusi projek land swap yang membabitkan 1,169 hektar tanah kementerian melebihi RM500 juta.


Katanya, antara penyebab kerugian yang dikenal pasti JKSTUPKK termasuk kaedah penetapan nilai tanah balasan yang tidak konsisten dengan empat tanah balasan didapati dinilai kurang daripada nilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta yang menyebabkan kerugian sebanyak RM166.81 juta.


Selain itu, katanya, jawatankuasa mendapati perancangan bagi projek land swap yang lemah di mana berdasarkan semakan, hanya dua daripada 16 projek pembangunan iaitu Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS) dan Fasiliti Skuadron 323 Tentera Udara Diraja Malaysia Bukit Banang, Johor yang dikenal pasti terkandung dalam Pelan Pembangunan Kementerian Pertahanan.


“Manakala 10 daripada 16 projek dimulakan melalui penerimaan cadangan daripada pihak swasta di mana pihak swasta yang mengenal pasti tanah balasan dan seterusnya mencadangkan projek pembangunan untuk dipertimbangkan oleh Kementerian Pertahanan,” katanya.


Jawatankuasa juga mendapati terdapat beberapa projek yang dilaksanakan tanpa mengambil kira pandangan dan ulasan pihak agensi pusat seperti Jabatan Peguam Negara dan Kementerian Kewangan yang secara tidak langsung memberi impak negatif terhadap pelaksanaan projek land swap.


Dalam hal ini, Mohamad berkata, pihak kementerian telah mengemukakan permohonan penilaian semula bagi semua tanah-tanah balasan yang terbabit dengan projek penswastaan bagi membolehkan sebarang rundingan lanjut dan penetapan nilaian tanah balasan kelak memberi keuntungan kepada pihak kerajaan.


“Dalam masa yang sama, pihak kementerian juga terbabit dengan beberapa siri perbincangan bersama pihak Unit Kerjasama Awam Swasta bagi mengenal pasti hala tuju terkini pelaksanaan Projek Land Swap selaras dengan syor-syor penambahbaikan oleh pihak Jawatankuasa Siasatan,” katanya.


Sementara itu, ketika ditanya akan hasrat Pakatan Harapan (PH) yang hari ini genap setahun memerintah, Mohamad berkata, dalam memasuki tahun kedua pemerintahannya beliau berhasrat untuk lebih kerap turun padang dan menyantuni rakyat bagi menerangkan dasar-dasar kerajaan dan perjuangan parti gabungan PH.


Beliau berkata, banyak yang telah beliau pelajari sepanjang tahun pertama berkhidmat sebagai menteri pertahanan dan masih banyak yang perlu dipelajari dan diperbaiki bagi menjayakan aspirasi Malaysia baharu. – Bernama


The post Pembelian, penyelenggaraan aset tentera mula disiasat appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop