Expired : 18.06.18

Pembenihan awan di Johor dijadual awal Februari

JOHOR BAHRU, 23 Jamadilawal 1441H, Ahad – Operasi pembenihan awan di Johor bagi mengatasi masalah taburan hujan yang berkurangan, dijadualkan awal Februari ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti negeri, Jimmy Puah Wee Tse.


Beliau berkata, operasi itu akan dijalankan oleh Badan Kawalselia Air Johor (BAKAJ) dan pihak operator air Johor, Ranhill SAJ Sdn Bhd.


“Ia susulan jangkaan Jabatan Meteorologi Malaysia bahawa Johor hanya akan menerima hujan pada paras purata antara 150 milimeter (mm) hingga 400mm pada Januari hingga Mac”, katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.


Beliau berkata berdasarkan rekod, keadaan paras air di 16 empangan dan kawasan tadahan air seluruh Johor setakat ini adalah memuaskan, bagaimanapun kebanyakannya berada tinggi sedikit daripada paras amaran.


Katanya sebagai contoh, Empangan Sungai Lebam di Kota Tinggi mencatatkan paras air semasa pada 12.54 meter berbanding paras amaran 12.32 meter, Empangan Congok di Mersing pada 5.99 meter (paras amaran 5.57 meter) dan Empangan Machap di Kluang pada 15.95 meter (paras amaran 14.8 meter).


“Walaupun dengan situasi kurangnya hujan akibat perubahan cuaca ke musim panas dan permintaan yang tinggi berikutan limpahan pembangunan serta pertambahan penduduk, pemantauan secara terperinci terhadap paras muka sauk empangan dan sungai akan terus dilakukan dalam tempoh dua minggu.


“Ini demi memastikan tindakan awal dapat dilaksanakan bagi meminimumkan gangguan bekalan air,” katanya. – Bernama


The post Pembenihan awan di Johor dijadual awal Februari appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.