Expired : 18.06.18

Pemimpin tipu ijazah tak layak cakap isu integriti: Isma


Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 5 Jamadilakhir 1440H, Ahad – Menteri dan timbalan menteri yang menipu kelayakan akademik tidak layak untuk bercakap mengenai isu integriti, kata Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Aminuddin Yahaya.

Beliau dalam tulisannya di Facebook, menyelar tindakan beberapa pemimpin kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang menipu kelayakan akademik mereka, dengan mengemukakan ijazah palsu.

Sejak beberapa hari lalu, isu kelayakan akademik Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya sebagai pemegang ijazah sarjana muda Pengurusan Perniagaan yang diperolehi daripada Universiti Cambridge, melalui program pengajian jarak jauh dipertikai.

Status akademik Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu menjadi persoalan apabila satu laporan polis dibuat berhubung dakwaan bahawa Universiti Cambridge sebenarnya tidak menawarkan program pengajian jarak jauh untuk kursus perniagaan.

Terbaharu, kecoh di media sosial apabila netizen mempertikaikan kelayakan Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian yang mendakwa mempunyai ijazah dan diploma Perakuanan daripada Universiti Putra Malaysia (UPM).

Hasil pemeriksaan mereka mendapati UPM hanya mula menawarkan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan pada tahun 1985, manakala Diploma Perakaunan tidak ditawarkan di universiti itu.

Mengulas perkara itu, Aminuddin berkata, isu yang dipertikaikan oleh rakyat hari ini bukanlah kerana ijazah, sebaliknya penipuan yang berlaku dalam kalangan pemimpin kerajaan.

“Dulu satu dunia mentertawakan negara kerana skandal 1MDB, kini dunia tertawakan kita kerana ramai menteri yang menipu kelayakan akademik.

“Malah ada orang kata untuk jadi ahli politik, kita tak semestinya ada ijazah. Tapi, persoalannya di sini bukanlah masalah ada ijazah atau tidak, tetapi penipuan yang berlaku,” katanya.

Beliau berkata, tindakan menipu kelayakan akademik itu secara jelas tiada ketelusan, serta tidak layak untuk pihak berkenaan bercakap mengenai isu integriti.

“Ini persoalan serius dan mereka sepatutnya letak jawatan,” katanya.


The post Pemimpin tipu ijazah tak layak cakap isu integriti: Isma appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop