Expired : 18.06.18

Pemuda UMNO Fokus Gerak Kerja Dekati Anak Muda, Lancar Kelab Mahasiswa UMNO

KUALA LUMPUR, 28 Nov – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata Perhimpunan Agung pergerakan itu akan memfokuskan kepada momentum gerak kerja Pemuda dalam usaha mendekati rakyat pelbagai peringkat khususnya anak-anak muda.


Menurut beliau tambahan pula dengan penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun yang diluluskan hasil pindaan Perlembagaan baru-baru ini, sudah pasti fokus ke arah berkenaan perlu diperkemas dan dipergiatkan lagi.


“Ini antara yang menjadi topik utama yang akan diberikan fokus daripada sudut gerak kerja. Kita akan gandakan usaha dan salah satu inisiatif dalam perhimpunan kali ini, kita akan melancarkan Kelab Mahasiswa UMNO Universiti yang kita harap tidak mendapat tekanan daripada universiti.


“Ini kerana mereka sudah pun membuat pengisytiharan bahawa parti-parti politik boleh menubuhkan sayap-sayap atau wakil-wakil diperingkat universiti di Malaysia ini. Insya-Allah majlis perasmian akan disempurnakan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 6 Dis.


“Kali ini kita akan gandakan penglibatan mahasiswa-mahasiswa daripada dalam dan luar negara, kelab-kelab UMNO luar negara akan hadir bersama dengan pemimpin mahasiswa nasional tempatan,” katanya.



Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Pemuda UMNO, di sini, hari ini.


Tambah Asyraf, satu lagi yang menarik PAU Pemuda kali ini ialah kehadiran lebih 100 tetamu di kalangan NGO-NGO dan juga pertubuhan-pertubuhan belia yang dianggap memberi motivasi yang tinggi kepada pergerakan itu.


Ini kerana katanya lagi pergerakan itu tidak pernah menjangkakan dalam suasana parti tidak ada kuasa dan tidak menjadi kerajaan, Pemuda UMNO menerima kehadiran ataupun kesudian jemputan begitu ramai sekali.


“Salah satu faktor juga, mereka ingin melahirkan rasa marah dan kecewa mereka terhadap Syed Saddiq dan juga kerajaan PH yang seolah-olah menganaktirikan mereka. Contoh Bajet 2020 yang sepatutnya pergi kepada pertubuhan-pertubuhan belia mengikut Akta Pertubuhan tetapi sebaliknya pula,” ujarnya.


Menjawab soalan media seandainya penubuhan Kelab Mahasiswa UMNO tidak dibenarkan, Asyraf memberitahu pergerakan itu sanggup berdemonstrasi kerana Akta Univesiti dan Kolej Universiti (AUKU) sudah pun membenarkannya.


“Kalau tidak benarkan penubuhan… Pemuda sanggup turun demonstrasi kerana AUKU dah benarkan dan kalau mereka tidak benarkan, mereka sendiri melanggar AUKU dan mereka sendiri melanggar apa yang mereka perjuangkan selama ini.


“Mereka perjuangkan hak kebebasan untuk berpolitik kononnya merekalah juara mahasiswa. Jadi sekarang ini mereka seharusnya tidak memberikan tekanan dalam apa jua bentuk. Kalau tidak Pemuda UMNO tidak akan teragak-agak untuk mengambil pendekatan yang tegas bahkan kita akan turun ke jalanan sepertimana mereka dahulu… cuma bezanya kita tidak akan tidur dijalananlah,” tambahnya. – UMNO Online


Norlida Ishak Shop