Expired : 18.06.18

Penalti saat akhir julang Liverpool




JARINGAN penalti James Milner pada minit ke-95 memberikan kemenangan dramatik 2-1 Liverpool ke atas Leicester City di Anfield sebentar tadi sekali gus mengekalkan rekod 100% pendahulu Liga Perdana itu musim ini.


Pengurus Leicester, Brendan Rodgers yang kembali ke bekas kelab dikendalikan pada musim 2013-14 hampir meranapkan hasrat Liverpool memburu kemenangan ke-17 berturut-turut aksi liga.


Tuan rumah yang tidak kalah dalam 43 aksi terakhir liga di Anfield tampak bergelut mengatasi kekentalan pertahanan lawan namun Sadio Mane akhirnya memecahkan kebuntuan jaringan pada minit ke-40 menerusi rembatan kencang dalam kotak penalti.


Liverpool berpeluang menambah jaringan tetapi gagal dimanfaatkan Mohamed Salah dan Mane dengan James Maddison menghukum pertahanan Liverpool menerusi gol penyamaan sepuluh minit sebelum tamat perlawanan.


Bagaimanapun, drama itu tidak berakhir apabila Mane dijatuhkan dalam kotak penalti yang memberi peluang Liverpool meraih tiga mata dan Milner tenang menyempurnakannya sekali gus membolehkan The Reds lapan mata di hadapan City dalam carta Liga Perdana.





Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Oktober 2019 @ 12:41 AM



Norlida Ishak Shop