Expired : 18.06.18

Penawar Bantu Bekas Banduan Di Kedah Berniaga










ALOR SETAR - Persatuan Membantu Orang-Orang Dalam Penyeliaan Kedah (Penawar) akan memastikan bekas penghuni penjara yang berniaga sendiri di bandar raya ini ditempatkan di kawasan perniagaan kekal bagi membantu kehidupan mereka.


Pengerusinya, Idris Ismail berkata, pelbagai perniagaan diusahakan bekas banduan namun pihaknya mendapat maklumat mereka tidak dapat berniaga dengan selesa.


Katanya, pihaknya kini sedang bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) supaya peniaga dapat ditempatkan di kawasan lebih tersusun dan selesa.


“Kini kebanyakan mereka membuka perniagaan di bawah pokok dan kaki lima hingga menyebabkan peralatan mereka diangkat pihak berkenaan.


“Jadi bagi mengatasi masalah itu, pihak kami akan berbincang dengan MBAS supaya mereka dapat berniaga dengan baik serta memudahkan orang ramai mendapat perkhidmatan,” katanya semasa Majlis Penyerahan Kurma Kepada Penjara di Kedah, kelmarin.


Menurut Idris, bekas banduan memerlukan bantuan daripada pelbagai pihak serta masyarakat sekeliling dalam meneruskan kehidupan.


"Walaupun golongan itu pernah melakukan kesalahan tetapi masyarakat tidak seharusnya memulau mereka.


“Adalah menjadi satu kerugian kepada masyarakat jika tidak dapat memanfaatkan kemahiran yang diperoleh oleh mereka semasa menjalani latihan di dalam penjara. Kita mempunyai banduan berkemahiran tinggi sama ada dalam bidang jahitan, masakan dan pertukangan,” katanya.


Sementara itu, Ketua Pengarah Penjara Kedah, Mohd Sabri Yaacob berkata, pihaknya sangat berterima kasih kepada Penawar kerana setiap tahun menyumbangkan kurma kepada penghuni penjara.  


“Malah tahun ini juga Kelab Lion Kedah dan Lembaga Hakim Pelawat turut bersama menyumbangkan kurma bagi penghuni penjara.


"Sebanyak 55 kotak kurma  bernilai RM6,000 disumbangkan kepada empat penjara di Kedah ini,” katanya selepas menerimanya di Penjara Alor Setar, kelmarin.


Sumber: Sinar Online








Norlida Ishak Shop