Expired : 18.06.18

Pencemaran kimia: Kerajaan Johor tak tahu buat apa-apa


BANGI, 6 Rejab 1440H, Rabu – Kerajaan Johor digesa memandang serius kes pembuangan bahan kimia ke dalam Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, sehingga memberi kesan buruk kepada murid sekolah dan orang awam.


Kejadian itu bukan sahaja memudaratkan alam sekitar, malah sehingga kini, 13 sekolah ditutup, selain lebih 200 pelajar sekolah serta orang awam menerima padah dan terpaksa menanggung musibah kesan tindakan yang bukan salah mereka, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.


Kesal dengan tragedi yang berlaku, Khaled berkata, keadaan kini dilaporkan semakin kritikal yang mana jumlah mereka yang dimasukkan ke hospital untuk menerima rawatan juga meningkat. 


“Lebih malang dan sangat dikesalkan adalah kegagalan dan kelemahan kerajaan negeri dalam menguruskan perkara ini. Sehingga ke saat ini, tiada sebarang ketegasan dapat dilihat. Apatah lagi rasa simpati, prihatin atau pertanggungjawaban kepada semua mangsa dan keluarga mereka.


“Malah kita semua tidak pasti, adakah kerajaan negeri sebenarnya telah melakukan penilaian komprehensif terhadap pencemaran ini dan sudah mempunyai pelan tindakan atau mitigasi yang jelas? Atau mereka sendiri sebenarnya masih tidak tahu apa yang perlu dilakukan seterusnya?” soal Khaled dalam satu kenyataan hari ini.



Sehubungan itu, Khaled menggesa agar jawatankuasa kerja yang telah diaktifkan mendalami perkara ini secara lebih serius dan berfokus, bukan sekadar tunggu dan lihat.


“Bukan sekadar keluarkan kenyataan untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang melakukan kesalahan ini. Ini adalah kes kesihatan dan keselamatan yang membabitkan nyawa. Jabatan Alam Sekitar Negeri dan wakil dari Putrajaya, Kementerian Kesihatan, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta pihak-pihak pakar dan berkaitan mesti dirujuk dan dibabitkan,” tegas beliau. 


Beliau turut menggesa wakil khas disediakan untuk berurusan dan memberi perkembangan terkini kepada semua mangsa dan keluarga terbabit, wakil media serta orang awam kerana masyarakat tidak seharusnya dibiarkan terkapai-kapai serta bimbang akan status kes ini.


Selain itu, Khaled memohon agar diasingkan satu peruntukkan dana khas untuk membantu semua mangsa dan disalurkan dengan segera. 


“Sebagai sebuah kawasan industri, adalah sangat kritikal untuk kerajaan negeri memastikan kualiti alam sekitar serta tahap keselamatan awam Pasir Gudang, serta Johor umumnya, tidak dibiarkan terjejas, merosot dan mengancam nyawa.

“Kes yang sedang berlaku ini menggambarkan dengan sendirinya kelemahan serta tahap ketidakmampuan kerajaan negeri dalam menguruskan isu serius dan membendungnya agar tidak terus menjadi semakin kritikal,” katanya.


The post Pencemaran kimia: Kerajaan Johor tak tahu buat apa-apa appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop