Expired : 18.06.18

Pendidikan Sivik tidak bebankan guru, murid - Maszlee



PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memastikan pelaksanaan Pendidikan Sivik di sekolah rendah dan sekolah menengah yang bermula Jun lepas tidak menjadi beban kepada guru dan murid.
Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, kementerian akan cuba mengelak berlakunya pertambahan waktu dengan memasukkannya dalam beberapa subjek di sekolah.



“Bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan Pendidikan Sivik, KPM telah menetapkan Pendidikan Sivik dilaksanakan selama satu jam pada minggu keempat setiap bulan.

“Ia dimasukkan dalam waktu mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Pendidikan Moral dan Sejarah. Kita cuba mengelakkan berlakunya pertambahan waktu yang kemudiannya menjadi beban kepada para guru dan murid.

“Anak-anak kita di pra-sekolah pula akan diajarkan pendidikan sivik selama 30 minit dan dalam masa sama, Pendidikan Sivik turut dilaksanakan dalam perhimpunan dan aktiviti kokurikulum,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Pelancaran Pendidikan Sivik Peringkat Kebangsaan di Dewan De’ Seri Endon di sini pagi tadi yang disempurnakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching.



Tambah Maszlee, guru juga diberi ruang untuk melaksanakan Pendidikan Sivik secara kreatif mengikut keperluan dan kesesuaian di dalam kelas.

“Pihak KPM telah menyediakan Perincian Pemetaan Pendidikan Sivik dan membangunkan Modul Exemplar Pendidikan Sivik, Manual Perhimpunan Sekolah dan Amalan Nilai Murni serta Manual Amalan Pendidikan Sivik dalam Kokurikulum.

“Ia untuk membantu guru melaksanakan pendidikan sivik seperti yang dihasratkan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berharap melalui pendekatan diterapkan kementerian, KPM menyasarkan majoriti rakyat Malaysia yang berjiwa dan berminda sivik dapat dilahirkan menjelang 2030.

“Harapan saya jelas, iaitu untuk menyedarkan masyarakat bahawa Pendidikan Sivik bukan menjadi tugas sekolah semata-mata tetapi semua pihak perlu mendokongnya secara bersama.

“Keterlibatan masyarakat dalam menjayakan pembudayaan kesedaran sivik ini amatlah penting bagi merealisasikan hasrat murni kerajaan,” katanya.

Katanya lagi, pendidikan sivik dilaksanakan bagi membentuk perwatakan murid dengan memberi penekanan kepada nilai-nilai penting yang positif.

“KPM amat mengharapkan pembudayaan pendidikan sivik ini menerima sokongan padu daripada segenap lapisan masyarakat termasuk ibu bapa, sekolah, komuniti setempat, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan korporat,” katanya.

Sumber: Sinar Harian







Share this




Admin





Related Posts




Norlida Ishak Shop