Expired : 18.06.18

Penduduk terjejas ribut dinasihat buat laporan polis


IPOH, 29 Rabiulakhir 1440H, Ahad – Penduduk sekitar Gugusan Manjoi dan Meru yang terjejas akibat kejadian ribut, hujan lebat dan angin kencang di sini petang ini dinasihati supaya membuat laporan polis dengan segera bagi memudahkan penyaluran bantuan.


Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu turut mengingatkan penduduk terlibat agar mematuhi arahan pihak berkuasa jika perlu berpindah ke pusat pemindahan demi keselamatan mereka, dan jangan lupa ‘bawa dokumen penting bersama’.


Beliau berkata, pihak Majlis Bandaraya Ipoh sedang berusaha membersihkan pokok-pokok yang tumbang, manakala Tenaga Nasional Berhad membantu menyambung semula bekalan elektrik ke semua kediaman dan premis terlibat di kawasan berkenaan.


“Saya yakin ukwah dalam kalangan masyarakat di sini kuat dan kita akan bantu semua mangsa,” kata beliau yang juga Anggota Parlimen Tambun kepada pemberita selepas meninjau kawasan terjejas ribut di Meru dan Gugusan Manjoi di sini.


Hujan lebat sekitar pukul 3.30 petang menyebabkan kira-kira 20 rumah di Gugusan Manjoi mengalami kerosakan teruk dan ada penduduk yang terpaksa dipindahkan sementara ke surau Kampung Kolam.


Sementara itu, di Bagan Serai, enam rumah mengalami kerosakan teruk, manakala 10 lagi mengalami kerosakan di bahagian bumbung dalam kejadian ribut di Kampung Pusat Penempatan Masyarakat Setempat (PPMS) Bukit Merah, dekat sini, petang tadi.


Pengerusi Majlis Pengurusan Ketua Kampung (MPKK) Bukit Merah Noordin Omar berkata kejadian pukul 5.00 petang itu turut mengakibatkan bahagian bumbung sebuah taska Permata dan sebuah lot gerai Pejabat Dearah dan Tanah Kerian musnah.


“Tiga keluarga membabitkan 12 mangsa dipindahkan ke Dewan Orang Ramai berhampiran kerana rumah mereka tidak selamat untuk diduduki,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.


Noordin berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.- Bernama


The post Penduduk terjejas ribut dinasihat buat laporan polis appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop