Expired : 18.06.18

Pengamal media perlu hasilkan lebih bahan berita mendidik rakyat







SHAH ALAM, 21 Rabiulawal 1440H, Khamis – Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malek hari ini menegur pengamal media supaya tidak terlalu tertumpu kepada hanya mencari berita sensasi sebaliknya menghasilkan lebih banyak bahan penulisan yang boleh mendidik masyarakat.


Beliau berkata, pengamal media seharusnya menggunakan ruang penulisan yang ada sehabis baik untuk memupuk nilai murni yang mendidik rakyat kerana kualiti masyarakat terletak kepada bahan bacaannya.


Membandingkan gaya penulisan pengamal media lebih 20 tahun dulu dengan masa kini, Maszlee menyifatkan olahan berita ketika itu dilihat lebih membentuk aura positif kepada rakyat biarpun bahannya hanya daripada satu kemalangan.


“Masa saya membesar dulu, ada berita mengenai kemalangan melibatkan seorang posmen. Namun  perbuatan posmen tersebut yang memegang erat surat-surat yang perlu dihantarnya diangkat dan diolah dengan begitu baik menunjukkan sikap amanahnya sehingga memberi kesan kepada rakyat antaranya saya yang ketika itu berumur lapan tahun.


“Walaupun ia hanya berita kemalangan tapi ia ditulis dalam bentuk mendidik masyarakat pada waktu itu. Keluar gambar dan tajuk yang mendidik. Tak macam hari ini (masa kini), tajuk berita lebih kepada kontroversi dan sensasi,” katanya semasa berucap pada majlis pelancaran Program Read@Uni Institusi Pendidikan Tinggi di Universiti Teknologi Mara, di sini hari ini.


Beliau berkata, akhbar ketika zaman itu memainkan peranan penting kerana bukan sahaja sebagai penyebar berita mengenai dalam dan luar negara namun sering menggunakan perkataan-perkataan yang selama ini ‘terpendam’ dalam Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka.


Katanya, peranan pengamal media kini yang dilihat lebih gemar ‘bersahabat’ dengan berita sensasi dan sering menggembar-gemburkan isu tertentu demi meraih jumlah pembaca yang tinggi harus diubah demi meningkatkan kualiti bahan bacaan rakyat.


“Saya harap kita dapat lahirkan lebih ramai pengamal media yang dapat menjadikan ruang penulisan mereka sebagai tempat memberi manfaat kepada rakyat untuk membangunkan tamadun yang lebih baik,” katanya. – Bernama






The post Pengamal media perlu hasilkan lebih bahan berita mendidik rakyat appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop