Expired : 18.06.18

Penganggur tikam imam dipenjara tiga tahun 5 bulan


BESUT, 12 Ramadan 1440H, Jumaat – Padah menikam imam yang sedang membaca al-Quran, seorang penganggur dikenakan hukuman penjara tiga tahun lima bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.


Tertuduh Muhammad Khairil Nawi, 23, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Raja Norshuziana Shakila Raja Mamat.


Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan ke atas Mohd Amin Md Nor, 38, menggunakan sebilah pisau pada 6.30 pagi Ahad (12 Mei) di Masjid Kampung Apal, Jerteh di sini.


Tertuduh dijatuhkan hukuman mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu.


Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara bermula hari ini.


Terdahulu tertuduh yang diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Mohd Fakhrul Fikri Mokhtar meminta hukuman yang seminima mungkin, memandangkan dia pada ketika kejadian mengalami tekanan perasaan dan menerima bisikan untuk melakukan kesalahan itu.


Tertuduh juga telah mengakui kesalahannya.


Pegawai Pendakwa Insp Norkhaizan Ramli meminta tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepadanya. – Bernama


The post Penganggur tikam imam dipenjara tiga tahun 5 bulan appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop