Expired : 18.06.18

‘Pengaruh DNA UMNO akan tetap ada walaupun parti diharamkan’

BANGI, 27 Safar 1440H, Isnin – Walaupun parti keramat Melayu, UMNO diandaikan akan ‘mati’ suatu hari nanti, rohnya tetap akan masih hidup dan dibawa bersama ahlinya ke parti-parti politik lain.


Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Kelantan, Dr Iskandar Hasan Tan Abdullah berkata, seandainya UMNO ‘dimatikan’, sudah tentu 3.5 juta ahli parti itu akan akan berhijrah menyertai PAS, Bersatu, PKR atau Parti Amanah Negara (PAN).


Secara tidak langsung katanya, parti-parti itu akan diwarnai dengan DNA UMNO dan kemungkinan besar akan mula bersatu.


“Ini disebabkan ahli-ahli UMNO yang berhijrah ke mana-mana parti sudah pasti akan mewarnai dan mempengaruhi parti tersebut. Berkemungkinan besar satu hari nanti, bekas ahli-ahli UMNO akan menguasai parti tersebut secara langsung jika keahlian asalnya menjadi minoriti.


“Akibatnya, pengaruh UMNO masih hidup walaupun parti itu telah lama diharamkan selepas beberapa tahun kemudian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.



Mengulas lanjut, Dr Iskandar berkata, walaupun kepimpinan UMNO dikatakan menerima rasuah, ia bukan alasan untuk mematikan atau dimatikan.


“UMNO adalah parti dan kepimpinannya dipimpin oleh manusia. Apa yang perlu dilakukan adalah memulihkan keyakinan dan kepercayaan rakyat ke atas UMNO.


“Ramai tidak faham bahawa pengaruh DNA UMNO tidak mampu dihapuskan kerana budaya politik Melayu adalah unik. Ia tidak mudah rapuh apabila semakin ditekan, kelihatan fleksibel tetapi ada kalanya terlalu rigid apabila krisis melanda.


“Akarnya akan kembali bersatu apabila pucuk kepimpinan mulai tumbuh. Perlu diingatkan, darah perjuangan politik yang ada hari ini sejak 1946 lagi. Mana-mana parti Melayu hanya berbeza pandangan dan fahaman tetapi akar perjuangannya adalah sama,” katanya.


Dengan itu, katanya, kemungkinan kali ini, penyatuan Melayu akan lebih hebat dan kukuh untuk membela dan melindungi hak kepentingan Melayu dan Islam.


PAS juga, katanya, bakal menjadi pilihan orang Melayu sekiranya tiada ahli UMNO yang ingin masuk ke dalam Pakatan Harapan (PH).


“Sudah pasti bekas ahli-ahli UMNO tiada pilihan selain menyertai PAS jika tidak ingin menyertai PH. Akibatnya, kebangkitan penyatuan Melayu Islam akan lebih hebat dalam melawan PH.


“Strategi politik dan penyusunan semula jentera kepartian perlu direformasikan semula mengikut kehendak generasi muda hari ini. Wadah perjuangan parti perlu diperhebatkan dan roh perjuangan UMNO bukan lagi fokus kepada ketuanan bangsa, tetapi kepada ketuanan rakyat bangsa,” katanya.


The post ‘Pengaruh DNA UMNO akan tetap ada walaupun parti diharamkan’ appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop