Expired : 18.06.18

Pengguna Perlu Lebih Pintar daripada “Gajet” Pintar


Oleh : Dr. Nik Roskiman Abdul Samad
Felow Kanan, Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik IKIM


Buku The Age of Surveillance Capitalism: The Fight for A Human Nature at the New Frontier of Power

“Adakah kita sebenarnya bekerja ‘untuk’ mesin pintar, atau kita memiliki orang yang pintar untuk bekerja mengendalikan mesin-mesin?” Itulah persoalan yang pernah ditanyakan kepada Shoshana Zuboff, pengarang buku The Age of Surveillance Capitalism: The Fight for A Human Nature at the New Frontier of Power. Persoalan tersebut sewajarnya ditanyakan juga kepada kita adakah kita hari ini bekerja “untuk segala peralatan dan teknologi canggih dan pintar itu, atau  sepatutnya kita yang pintar ini menggunakan teknologi-teknologi tersebut untuk manfaat kehidupan duniawi dan ukhrawi kita dengan sebijaknya?


Adakah kita cukup “pintar” menggunakan Gajet Pintar?

Melihat kepada pelbagai isu dan masalah yang timbul dalam masyarakat hari ini, seolah-olah ia menunjukkan kita pada hakikatnya tidak pintar dalam menggunakan “teknologi pintar” yang ada di sekeliling kita sehingga disebabkan ketidakpintaran kita itu, teknologi yang kononnya pintar itu telah menjadikan kita ini “bodoh” dan hilang sifat manusia berakal.


Sejarah Mengenai Laman Sesawang

Apabila Tim Berners-Lee mereka cipta World Wide Web (WWW) sekitar 1989, dan seterusnya diikuti dengan ledakan maklumat melalui pembangunan laman sesawang (web) di seluruh dunia yang boleh dicapai dengan mudah hanya melalui ketukan hujung jari, manusia merasakan mereka akan dengan mudahnya memperoleh ilmu pengetahuan dan manusia akan menjadi semakin pintar dan cerdik serta berpengetahuan. Tetapi, realitinya tidak begitu kerana laman sesawang tidak digunakan untuk hal-hal bermanfaat sahaja, tetapi segala macam kejahatan juga dengan mudah diperoleh melalui laman sesawang daripada pornografi, penyebaran ideologi ganas (terrorisme), perjudian dalam talian, penipuan (scammers), permainan (games) dalam talian yang melalaikan dan ganas, dan bermacam-macam lagi. Begitu juga dengan kemunculan telefon pintar beberapa tahun selepas itu sekitar 1992 buat pertama kalinya dan dengan perkembangan pembangunan yang pesat terhadap telefon pintar bermula daripada sekadar boleh menghantar gambar melalui pesanan ringkas (SMS) kepada pesanan multimedia (MMS), kepada merakam gambar dan video dan bermacam-macam lagi.


Realiti Sisi Gelap Laman Sesawang

Teknologi terus berkembang hingga kemunculan pelbagai sesawang dan aplikasi seperti FaceMash kemudian diubah kepada Facebook sekitar 2003/2004 oleh Mark Zuckerberg, diikuti pula oleh Jawed Karim, Steve Chen dan Char Hurley yang memperkenalkan kepada dunia produk Youtube sekitar tahun 2005 buat pertama kalinya dan selepas daripada itu banyak lagi aplikasi pintar media sosial lain dibangunkan, dan ada yang berjaya mendapat tempat dalam kalangan masyarakat dan ada juga yang tidak bertahan lama dan terus tenggelam tidak digunakan.


Aplikasi Media Sosial Popular

Penulis tidak bermaksud mengajak berbicara tentang perkembangan teknologi cuma mengajak pembaca merenung seketika benarkah “gajet” pintar itu membantu kita, atau sebenarnya kita telah menjadi hamba kepada teknologi khususnya  “gajet” pintar sehingga tanpa kita sedari kita menjadi semakin kurang pintar atau dalam bahasa kasarnya “bodoh” dan hilang sifat kemanusiaan disebabkan oleh “gajet” pintar itu tadi.


Sekadar mengambil satu kes bagaimana perkembangan teknologi boleh menjadikan masyarakat kita hilang kewarasan dan pertimbangan akal yang jelas sepertimana penyebaran video lucah yang kononnya melibatkan pemimpin negara yang heboh diperkatakan di negara kita pada masa kini. Dalam hal begini khususnya dengan perkembangan teknologi sekarang yang menyebabkan maklumat disebarkan dengan pantas, kita sepatutnya mengambil sikap seperti berikut:


  • Setiap maklumat yang diterima hendaklah dikategorikan sebagai “bahan mentah” terlebih dahulu yang perlu diproses, disaring, dinilai dan diteliti dari segi kebenaran, keaslian, ketulenan dan kesahihannya maklumat atau beritanya;

  • Kita sama sekali tidak dibolehkan terus menganggap maklumat yang diterima sebagai suatu kebenaran lalu terus dicap sebagai “fakta” kerana telah banyak berlaku apa yang kita jangkakan kebenaran pada awalnya itu sebenarnya adalah fitnah, khabar palsu dan pembohongan semata-mata;

  • Islam menganjurkan setiap berita yang diterima hendaklah disiasat terlebih dahulu (tabayyun) sepertimana perintah dalam al-Qur’an melalui Surah al-Hujurat ayat 6, mafhumnya: “Hai orang-orang beriman, jika datang kepadamu orang fasiq membawa satu berita maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.”


Kesedaran Masyarakat mengenai sesuatu, Fakta atau Palsu?

Dalam era ledakan maklumat hari ini, dan perkembangan pelbagai teknologi dan aplikasi pintar, masyarakat perlu turut menjadi pintar seperti mana gajet pintar. Mereka perlu menyedari perbezaan antara “fakta” dan “maklumat”. Sementara “fakta” itu dari segi maksudnya sebenar seperti mana yang dirakamkan dalam kamus merujuk kepada “sesuatu yang benar-benar berlaku atau”, tetapi maklumat tidak begitu. Maklumat lebih bersifat “keterangan atau butiran-butiran merujuk kepada sesuatu perkara / kejadian” yang masih belum dapat dipastikan kesahihannya. Maklumat masih perlu diproses dan disiasat, dan kita jangan menjadi golongan yang menerima bulat-bulat setiap maklumat yang diterima daripada pelbagai “gajet” pintar atau laman sesawang.


Kita hendaklah menjadi pengguna teknologi yang bijaksana dan bukan menjadi hamba. Hari ini kita dapati teknologi telah mampu menguasai cara manusia berfikir dan merubah persepsi manusia. Rata-rata masyarakat kita hari ini mudah dipengaruhi oleh media dan persepsi yang ditimbulkan.  Kempen-kempen pilihanraya dan pelbagai lagi promosi dilancarkan menggunakan media sehingga yang palsu ternampak seolah-olah benar manakala yang benar ternampak seolah-olah palsu. Kita menyaksikan bagaimana banyak negara luar persepsi rakyatnya boleh diubah dengan mudah menggunakan kemudahan teknologi.


Perkara yang paling penting sekali dalam mengendalikan teknologi pintar ialah kita sebagai pengguna hendaklah lebih pintar daripada “gajet” yang digunakan khususnya apabila melibatkan penerimaan maklumat-maklumat untuk mengambil sikap meneliti, menyemak, memeriksa kesahihan sesuatu maklumat tersebut sebelum mempercayai dan menyebarkannya. Selagi ia “maklumat yang belum diproses” atau disaring, maka selama itu ia termasuk dalam kategori “berita yang belum pasti” yang terdedah kepada penipuan, pembohongan dan fitnah.


Kredit Foto  : Shutterstock


397total visits,398visits today


Norlida Ishak Shop