Expired : 18.06.18

Pengiktirafan dan Sistem Jaminan Kualiti Makanan

Oleh : Dr Nurhuda Faujan
Pensyarah Kanan
Fakulti Sains & Teknologi USIM


Dr Nurhuda Faujan

Masyarakat sering dihidangkan dengan berita tentang kejadian keracunan makanan yang berpunca daripada makanan tercemar. Keracunan makanan bukan sahaja boleh berlaku di gerai makanan di tepi jalan malah boleh juga berpunca daripada makanan yang disediakan di tempah gah seperti hotel, atau yang dikeluarkan daripada kilang makanan berskala besar.


Ilustrasi Bakteria Penyebab Keracunan Makanan

Ramai yang tidak mengetahui bahawa dalam industri makanan terdapat beberapa sistem keselamatan dan jaminan kualiti. Kebanyakan sistem yang diwujudkan adalah berasaskan piawai antarabangsa.  Semua sistem ini diwujudkan untuk melindungi orang ramai daripada bahaya-bahaya kesihatan yang berpunca daripada makanan serta penipuan dalam penyediaan, penjualan, dan penyimpanan makanan.



Infografik Panduan Sistem Jaminan Kualiti Makanan

Umumnya, sesebuah premis makanan boleh bermula dengan membangunkan sistem Amalan Pengilangan Baik atau lebih dikenali sebagai GMP.  Amalan ini merupakan peraturan, kod, dan garis panduan yang mengawal keadaan operasi dalam sesebuah premis makanan. Pengeluar makanan perlu membangunkan asas amalan kebersihan dan keperluan sanitasi untuk memastikan penghasilan makanan yang selamat dalam premis mereka.


Skop amalan ini merangkumi lokasi premis, rekabentuk premis, kemudahan premis seperti kemudahan penyimpanan bahan mentah serta peralatan, kawalan pemprosesan makanan, kawalan makhluk perosak, kawalan bahan buangan makanan, sehingga pengurusan pekerja serta pelawat.



Fasiliti di Premis Amalan Pengilangan Baik

Premis makanan yang mempunyai GMP akan memudahkan pengilang untuk membangunkan sistem jaminan kualiti yang lain seperti Sistem Analisis Bahaya Titik Kawalan Kritikal (HACCP), Sistem Pengurusan Kualiti (ISO), serta Sistem Jaminan Halal (HAS).


Sistem pengurusan keselamatan makanan yang sangat popular dalam industri makanan berskala besar adalah sistem HACCP. Sistem HACCP merupakan sistem yang sistematik dan saintifik untuk mengenalpasti bahaya pada titik tertentu dengan langkah-langkah khusus untuk mengawal bahaya tersebut bagi memastikan makanan adalah selamat dimakan.


HACCP adalah merupakan sistem kawalan yang memberi tumpuan kepada pencegahan semasa pemprosesan makanan dan bukannya bergantung pada ujian akhir produk yang terhasil. Tiga jenis bahaya yang dititikberatkan dalam membangunkan sistem HACCP adalah bahaya mikrobiologi, kimia, dan fizikal. Pengilang yang telah mempunyai sistem HACCP lazimnya akan dianugerahkan dengan ISO 22000 iaitu Sistem Pengurusan Keselamatan Makanan.


Jenis Bahaya HACCP Pemprosesan Makanan

Untuk meyakinkan pengguna makanan bahawa produk makanan mereka adalah selamat dan berkualiti, kebiasaannya pengilang yang telah mewujudkan sistem HACCP dalam kilang mereka, akan meletakkan logo HACCP dalam perlabelan produk mereka.


Pada tahun 2012, Kementerian Kesihatan Malaysia telah memperkenalkan Skim Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI). Skim MeSTI merupakan skim keselamatan makanan yang direka khusus untuk membantu pengusaha kecil dan sederhana (PKS) tempatan mematuhi keperluan minima kebersihan dan keselamatan makanan.


Ini kerana untuk membangunkan GMP dan HACCP memerlukan kos yang besar serta memakan masa yang agak lama.  Berbanding skim MeSTI, skim diberikan percuma dengan bimbingan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia serta lebih mudah diperolehi. Pada masa yang sama PKS boleh meningkatkan mutu makanan agar lebih berdaya saing bukan sahaja di pasaran tempatan tetapi juga boleh menembusi pasaran antarabangsa. Ini sekaligus dapat meningkatkan pendapatan golongan PKS dan menyumbang ekonomi negara.


Dengan adanya Skim MeSTI, PKS boleh menjadikan skim ini sebagai batu loncatan untuk mendapatkan logo Halal Malaysia serta membangunkan sistem jaminan keselamatan makanan antarabangsa lain seperti GMP, HACCP, serta ISO.



Logo Jaminam Kualiti pada Pelabelan Produk Makanan di Malaysia

Di Malaysia, Kementerian Kesihatan juga telah memperkenalkan satu bentuk pengiktirafan BeSS atau ‘Bersih, Selamat dan Sihat’.  Pengiktirafan ini dibuat untuk menggalakkan pengusaha premis menyediakan makanan yang selamat dan sihat kepada pelanggan.


Pengiktirafan BeSS disediakan bagi pengusaha premis makanan yang memenuhi empat kriteria utama. Kriteria-kriteria tersebut adalah mengekalkan premis yang bersih, menyediakan makanan yang selamat, menyediakan makanan yang sihat, dan menyediakan makanan dalam saiz hidangan yang betul mengikut keperluan individu.


Pengusaha premis makanan yang diiktiraf dengan BeSS semestinya sudah mematuhi syarat-syarat yang melibatkan komponen keselamatan dan kualiti makanan.



Makanan Selamat & Berkualiti Untuk Pengguna

Oleh itu, mereka yang terlibat dalam penyediaan atau pengilangan makanan daripada premis kecil sehingga industri besar semestinya bertanggungjawab untuk memastikan bahawa makanan yang dihasilkan adalah selamat dan berkualiti untuk kegunaan pengguna. Industri makanan yang membangunkan sistem jaminan kualiti juga boleh bersaing dengan pengeluar lain untuk menembusi pasaran tempatan dan antarabangsa.



Kredit Foto :
equinoxlab
foodsafetyhelpline
powerofpositivity
qualitysupportgroup
madgetech
cheersbar
nutrition 




22total visits,1visits today


Norlida Ishak Shop