Expired : 18.06.18

Pengusaha restoran diberi amaran tidak salah guna sijil halal, kalimah Allah


KLANG, 3 Jamadilawal 1440H, Rabu – Pengusaha restoran diingatkan untuk tidak sewenang-wenangnya menggunakan tulisan atau kalimah tertentu bagi tujuan memberi gambaran halal kepada pengguna Muslim.


Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, Azman Adam berkata, adalah menjadi kesalahan kepada mana-mana pemilik premis yang melakukan perbuatan sedemikian tanpa memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (Halal) daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).


“Kita mahu ingatkan pemilik restoran daripada membuat apa jua tindakan yang membawa representasi atau perbuatan yang boleh memperdayakan atau mengelirukan pengguna seolah-olah premis mereka menjual makanan atau minuman yang halal.


“Pihak kementerian juga sangat menitikberatkan soal halal ini sebagai sebagai satu bentuk perlindungan kepada pengguna, tahun lepas sahaja kita menerima sejumlah 22 aduan berkaitan isu halal dan enam daripadanya menghasilkan kes,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.



Terdahulu, isu pengusaha bukan Islam membuka restoran ‘mamak’ tular dalam media sosial susulan insiden seorang pekerja restoran di Seksyen 25 Shah Alam ditampar selepas menegur seorang lelaki yang merokok di dalam premis berkenaan.


Bagaimanapun, status sebenar pemilik restoran itu yang bukan beragama Islam terbongkar susulan insiden berkenaan, sehingga menyebabkan pengguna media sosial membangkitkan persoalan terhadap status halal restoran ‘mamak’ yang menggunakan nama Islam.


Pada masa sama, orang ramai turut mempersoal tulisan jawi pada papan tanda restoran, serta beberapa ayat al-Quran yang tergantung di premis itu.


Mengulas lanjut, Azman berkata, pada dasarnya penggunaan tulisan jawi di premis restoran yang tidak memiliki sijil Halal adalah dibenarkan pada tahap tertentu selagi tidak memberikan gambaran yang salah kepada pengguna.


“Saya ingin tekankan, penggunaan tulisan jawi atau yang menyerupai jawi selagi tidak mengelirukan pengguna tidak menjadi kesalahan, contohnya guna untuk sekadar tulis nama restoran.


“Namun jika dipamerkan di ruang dalam restoran seperti penggunaan kalimah seperti Allah yang mengelirukan, itu menjadi kesalahan dan kita perlu lihat kembali.


“Justeru, kita harap perkara-perkara yang boleh mencetuskan panik dan kekeliruan di kalangan pengguna dapat dielakkan,” katanya.


The post Pengusaha restoran diberi amaran tidak salah guna sijil halal, kalimah Allah appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop