Expired : 18.06.18

Penjawat Awam Beban?

ALOR SETAR 9 Sept. – Pelbagai ‘konfrontasi’ dan tekanan Pakatan Harapan (PH) terhadap penjawat awam termasuk yang terkini cadangan untuk menghentikan pengambilan kakitangan tetap dan berpencen, menimbulkan tanda-tanya sama ada golongan tersebut dianggap sebagai beban oleh kerajaan kini.


Ketua Penerangan UMNO Kedah, Syed Mohd. Johan Rizal Syed Unan Mashri mengingatkan, kenyataan-kenyataan dan tindakan seperti itu hanya akan menjejaskan motivasi penjawat awam sekaligus mengakibatkan produktiviti kerajaan menurun.


Kata beliau, sikap kerajaan PH itu jelas ditunjukkan apabila membatalkan kenaikan gaji yang diumumkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan seterusnya mencadangkan agar sektor itu dikecilkan.



“Ini diikuti dengan pengurangan imbuhan perayaan berbanding di zaman BN dan yang terbaharu mencadangkan skim pencen dengan lantikan kontrak atas alasan kononnya bayaran pencen ini merugikan ‘kantung’ kerajaan.


“Kerajaan PH juga pernah menekan sebahagian penjawat awam yang dianggap ‘musuh’ kerana kononnya setia dengan kerajaan BN,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.


Pada 4 September lalu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Borhan Dolah berkata, kerajaan mungkin tidak lagi mengambil kakitangan tetap dan berpencen menjelang 2020.


Syed Mohd. Johan Rizal seterusnya mempersoalkan sama ada PH pada masa ini cuba hendak mengurangkan minat graduan dan orang muda untuk berkhidmat dengan kerajaan, di atas pelbagai kenyataan dan cadangan yang menekan penjawat awam.


“Jika skim pencen dihapuskan, maka hilanglah keistimewaan penjawat awam. Masa depan penjawat awam pula sentiasa dalam keadaan tidak stabil atas sebab mereka berdepan dengan kontrak yang tidak disambung.


“Sudahlah hilang keistimewaan dalam kerajaan, sudah tentu penjawat awam bakal berdepan pula masalah jika mahu membuat pinjaman dengan pihak bank. Gaji yang mungkin berubah-ubah mengikut kontrak dan ditamatkan kontrak sudah tentunya memberi kesan keyakinan pada institusi perbankan dalam meluluskan pinjaman,” jelasnya.


Menurut beliau lagi, sewaktu pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak, kerajaan BN berusaha memperkasakan perkhidmatan awam, namun sebaliknya berlaku semasa pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mengambil langkah ke belakang.


“Malah Dr. Mahathir membelakangi Perlembagaan Negara dalam Perkara 147(1) apabila menyentuh isu pencen ini,” katanya.


Syed Mohd. Johan Rizal berkata, Pemuda UMNO Kedah berikrar akan menentang habis-habisan sebarang usaha kerajaan PH untuk menekan penjawat awam sebaliknya mendesak agar skim perkhidmatan lantikan tetap dan berpencen dikekalkan.


“Pemuda UMNO Kedah akan bertindak sebagai ‘suara’ mewakili penjawat awam yang tidak boleh menyuarakan kegelisahan mereka secara terbuka.


“Yang kita mahu adalah kerajaan yang mempertingkatkan kemudahan, imbuhan dan perlindungan keselamatan buat penjawat awam supaya produktiviti terus meningkat dan rakyat menikmati perkhidmatan kelas pertama dan bukannya kerajaan yang menganggap penjawat awam ini umpama beban,” katanya. – UTUSAN ONLINE


Norlida Ishak Shop