Expired : 18.06.18

Pentaksiran alternatif selari dengan PBD - Ketua Pengarah



PUTRAJAYA: Mulai tahun depan, bentuk pentaksiran bagi murid Tahap Satu (Tahun Satu, Dua dan Tiga) di semua sekolah rendah akan bertumpu kepada perkembangan pelajaran murid atau berorientasikan pembelajaran, bukan lagi berorientasikan peperiksaan.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin, berkata ia adalah pentaksiran alternatif yang akan menggantikan peperiksaan formal untuk mewujudkan budaya pembelajaran yang lebih menyeronokkan dan bermakna.



“Perkara ini membolehkan guru memberi lebih perhatian kepada penerapan nilai kasih sayang, kegembiraan, hormat-menghormati dan memantapkan pembangunan sahsiah murid.

“Selain itu, pembabitan ibu bapa juga penting dalam usaha mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kurang tekanan kepada murid di peringkat awal usia persekolahan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mengumumkan peperiksaan bagi murid Tahap Satu akan dimansuhkan bermula tahun depan dan akan digantikan de­ngan sistem pentaksiran yang lebih objektif.

Amin berkata, pentaksiran alternatif yang akan dilaksanakan itu juga adalah sebahagian daripada proses pembelajaran dan seiring dengan pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), salah satu komponen Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang berfokus kepada perkembangan dan kemenjadian murid secara holistik.

Katanya, ia juga akan menggalakkan guru untuk mempelbagaikan kaedah pengajaran dan pembelajaran seperti melaksanakan pengajaran terbeza dan pengajaran pemulihan mengikut tahap keupayaan murid, dan hasilnya akan membantu guru serta ibu bapa menilai dan menambah baik pembelajaran murid.

“Pentaksiran alternatif ini juga merujuk kepada pelbagai aktiviti selain peperiksaan untuk menilai penguasaan dan mengesan perkembangan pembelajaran murid.

“Pentaksiran alternatif dilaksanakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran melalui aktiviti seperti perbincangan, persembahan, kerja projek, tugasan, amali, pemerhatian, portfolio, pameran, kuiz dan aktiviti pentaksiran lain, selaras dengan kaedah Pembelajaran Abad Ke-21 yang berteraskan elemen kolaborasi, kreativiti, komunikasi, pemikiran kritikal dan nilai,” katanya.

Mengulas kaedah peperiksaan yang dilaksanakan ketika ini, Amin berkata ia bukan semata-mata sebagai cara untuk mengukur pencapaian murid pada Tahap Satu dan akan mengakibatkan pembelajaran di bilik darjah semakin tidak berfokus kepada perkembangan dan pertumbuhan murid dalam pembinaan kemahiran, perwatakan serta nilai murni mereka.

“Dalam hal ini, kementerian memutuskan pentaksiran alternatif sesuai dimulakan pada Tahap Satu sekolah rendah kerana pertumbuhan murid berlaku dengan pesat dalam tempoh itu dan amat penting sebagai asas untuk murid mengoptimumkan perkembangan dan pertumbuhan mereka pada tahap pembelajaran seterusnya,” katanya.



loading...




Share this





Cikgu Share







Related Posts





Norlida Ishak Shop