Expired : 18.06.18

Penyanyi Black Eyes Peas puji, imbau jasa Malaysia bantu mangsa tsunami 2004

Penyanyi Black Eyes Peas mengkagumi Malaysia yang membantu mangsa tsunami di Banda Aceh pada 2004. — Foto AFP
Penyanyi Black Eyes Peas mengkagumi Malaysia yang membantu mangsa tsunami di Banda Aceh pada 2004. — Foto AFP

KUALA LUMPUR, 8 Dis — Walau lebih 10 tahun berlalu, bencana tsunami pada 2004 masih segar dalam ingatan ramai, apatah lagi kejadian itu meragut banyak nyawa.

Kejadian akibat gempa bumi berhampiran Banda Aceh pada 26 Disember mengorbankan 52 mangsa terkorban manakala 141 cedera berdekatan Tanjung Bungah, Batu Ferringhi dan Balik Pulau.


Secara keseluruhan, tragedi tersebut mengorbankan lebih 220,000 mangsa merentasi 14 negara dengan jumlah paling banyak di Indonesia.


Mengenang detik hitam itu, kumpulan hip hop popular Amerika Syarikat, Black Eyes Peas berkata beliau cukup menyayangi Malaysia kerana pada 2005 negara kita mengadakan bantuan kemanusiaan tsunami bagi membantu korban di Banda Aceh.


“Awak tahu tak kenapa saya begitu menyukai Malaysia? Pada 2004 bencana alam berlaku di Indonesia, di Banda Aceh, kejadian tsunami itu mengorbankan banyak nyawa,” kata penyanyinya Wiliam Adam atau lebih dikenali sebagai “Will.i.am”


“Dan pada Mac 2005, saya datang ke Malaysia, di hari lahir saya iaitu 15 Mac sebab Malaysia buat bantuan kemanusiaan kepada negara jiran Indonesia. Itu adalah pengalaman istimewa dan cukup menyayat hati yang membuka minda saya.


“Jadi saya sangat-sangat berterima kasih kepada masyarakat Malaysia kerana membantu sahabat-sahabat di Indonesia, walaupun kejadian itu sudah lama, 2005.”



So we had Black Eyed Peas performing tonight and here's what they had to say about Malaysia pic.twitter.com/xUsBXCuRdL


— im (@ImranSyaffi) December 6, 2019

Beliau berkata demikian dalam konsert tertutup sempena acara tahunan syarikat penerbangan tambang murah AirAsia. Sejurus membuat ucapan itu, Black Eyes Peas terus mendendangkan lagu hits mereka Where Is The Love?


Rakaman itu dimuat naik pengguna Twitter Imran Syaffi dan hantaran berkenaan dikongsi 5,561 pengguna setakat ini.


Ironinya, rata-rata warga maya bukannya memuji kenyataan kumpulan tersebut tetapi mereka mengeluh kerana tidak tahu Black Eyes Peas datang ke Malaysia.


Selain William, kumpulan itu dianggotai apl.de.ap, Taboo dan ahli baru Jessica Reynoso, yang menggantikan tempat Fergie.


Pada 2005, Malaysia mengadakan konsert berskala besar yang dinamakan Konsert Force of Nature dengan menampilkan ramai artis tempatan dan luar negara bagi membantu Indonesia.


Konsert itu disertai Black Eyes Peas, Lauryn Hill, Innuendo, Ruffedge, Sheila Majid, Anuar Zain, Dayang Nurfaizah, Boyz II Men, Ruth Sahanaya dan ramai lagi. Hasilnya, lebih RM10 juta berjaya dikumpul untuk disalur kepada teman serumpun Indonesia.


Norlida Ishak Shop