Expired : 18.06.18

Penyatuan Ummah: Empat Asas Golongan Muda Perlu Lihat – Ir Khairil

KUALA LUMPUR, 13 Sept – Terdapat empat asas yang penting untuk golongan muda lihat kepada usaha penyatuan ummah dalam negara ini, ujar Ketua Pemuda PAS pusat, Ir. Khairil Nizam Khirudin.


Faktor pertama katanya, adalah mengenai perjuangan menegakkan dan mempertahankan apa yang telah termaktub di dalam Perlembagaan negara dan kontrak sosial.


“Pertamanya ialah bila berlakunya muafakat antara dua parti Melayu terbesar yang kedua-duanya ada idealogi politik masing-masing tetapi boleh bersatu kerana kepentingan untuk memperjuangkan kebenaran kontrak sosial yang termaktub dalam Perlembagaan termasuklah Islam sebagai agama persekutuan.


“Ia (penyatuan ummah) berlaku untuk mencari keadilan untuk rakyat. Keadilan pada prinsip yang telah ditetapkan oleh Islam iaitu meletakkan sesuatu pada tempatnya, komprehensif.


“Dalam negara ini ada hak untuk orang Melayu dan ada hak untuk orang bukan Melayu, untuk bumiputera dan bukan bumiputera. Ikut perlembagaan, selesai masalah… jangan ada usaha untuk mengkucar-kacirkan pemikiran rakyat dengan mengganggu apa yang telah dipersetujui dahulu,” katanya.


Ir Khairil berkata demikian dalam satu wacana Himpunan Penyatuan Ummah bersama Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Shahril Hamdan dalam membicarakan topik ‘Anak Muda Pencetus Kebangkitan Ummah’ yang disiarkan secara langsung di Facebook UMNO Online, malam tadi.


Tambah Ir Khairil, penyatuan ummah kerangkanya ialah berjuang untuk seluruh rakyat dan bukan hanya orang Melayu serta parti UMNO dan PAS sahaja.


“Untuk rakyat Malaysia, ummat.. rakyat bukan hanya satu-satu kaum. Muafakat ini tidak membaca Melayu bersatu, tidak… menyatakan bahawa UMNO mewakili Barisan Nasional, PAS mewakili Gagasan Sejahtera kita bergabung menjadi satu pembangkang yang kuat dan memberi nafas yang baru kepada politik negara,” ujarnya lagi.


Tambahnya lagi, asas ketiga ialah permuafakatan yang diusahakan adalah sebagai jalan penyelesaian kepada masalah negara.


“Pemuda PAS gariskan kepada tiga perkara, satu pembangkang yang konstruktif sebagai agen semak dan imbang, kedua pembangkang yang setia iaitu perkara yang baik kita puji bantu sama-sama, ketiga kolaborasi pembangkang sepertimana sekarang UMNO dan PAS boleh bekerjasama memperjuangkan solusi kepada rakyat.


“Saya yakin dengan kepakaran UMNO memerintah 60 tahun dan kepakaran PAS memerintah beberapa negeri dan dengan adanya juga golongan professonal muda dalam parti saya yakin dan percaya kalau kerajaan Pakatan Harapan membuka pintu seluas, pembangkang boleh bersama memajukan negara,” katanya.


Manakala asas terakhir ialah keikhlasan, jelas Ir Khairil.


“Saya yakin dan percaya kalau UMNO dan PAS berpadu, ikhlas kerana memperjuangkan hak rakyat berteraskan norma-norma yang ada dalam Islam sebab Islam ini telah memimpin lebih seribu tahun, tiga perempat dunia sudah pasti ada banyak formula-formula yang boleh kita hibridkan dalam negara ini. Dan ia juga mesti berasaskan kepada masyarakat majmuk,” katanya.


Dalam wacana tersebut, Ir Khairil turut menyentuh mengenai kerisauan golongan muda terhadap apa yang berlaku kepada negara ini terutama berkaitan ketenteraman masyarakat yang semakin goyah.


“Asasnya adalah gangguan kontrak sosial yang sebenarnya telah dipersetujui dari zaman dahulu termasuklah pihak Raja dan Sultan yang setuju untuk memberi sedikit kelebihan untuk orang bukan Melayu untuk duduk sama-sama dalam negara ini dan diberi warganegara. Keamanan itu dipupuk dengan adanya Perlembagaan negara.


“Jangan kucar ganggu Perlembagaan negara. Kenapa apabila berkait sahaja dengan Melayu dikatakan kita rasis sedangkan apa yang hendak kita bawa termaktub dalam Perlembagaan.


“Jadi anak muda rasa resah. Kenapa dalam kerajaan terdahulu walaupun ada kelemahan-kelemahan tetapi sepanjang lebih 60 tahun hanya ada sekali sahaja getaran iaitu pada tahun 1969. Tetapi sekarang ketenteraman itu semakin lama semakin terhakis. Contoh kes Allahyarham Adib yang masih tidak dapat keadilan yang sewajarnya dan pelbagai isu yang jika tidak diurus oleh kerajaan sekarang ia akan jadi barah dalam keharmonian negara,” jelasnya lagi.


Begitu juga tambahnya mengenai kegagalan kerajaan Pakatan Harapan mengurus tadbir ekonomi negara, di samping tidak menunaikan janji-janji manifesto pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) lalu.


“Asasnya adalah dalam keadaan kerajaan Pakatan Harapan mendapat banyak bantuan dari GLC (syarikat berkaitan kerajaan) khususnya dari Petronas kenapa hutang negara semakin bertambah, nilai mata wang semakin menurun, harga barang semakin meningkat.


“Ketidaktenteraman dari sudut ekonomi ini menyebabkan anak muda kata bila kami ingin ubah kepada kerajaan yang baru asasnya adalah untuk mendapat keselesaan hidup tetapi mengapa semakin lama semakin terabai keselesaan hidup.


“Nak kata peluang pekerjaan bertambah? Berkurangan… Di sinilah hasrat anak muda mahu melihat penyatuan ummah ini boleh menjadi satu gagasan yang kuat untuk mendesak kerajaan Pakatan Harapan supaya mengotakan segala janji-janji mereka dalam manifesto. Saya yakin dan percaya kalau mereka tidak mampu, ini adalah pemerintahan mereka yang paling singkat, Insya-Allah,” tegasnya. – UMNO ONLINE



Norlida Ishak Shop