Expired : 18.06.18

Penyatuan Ummah: PAS Tempelak Pihak Tertentu Terus Menerus Lempar Tohmah

KUALA LUMPUR, 12 Sept – Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyudin Hasan menempelak pihak tertentu yang cuba melontarkan tohmahan dan pelbagai fitnah terhadap parti berkenaan berhubung penyatuan ummah bersama dengan UMNO yang dikaitkan dengan soal memenangi pilihan raya.


Tegas beliau jika parti berkenaan berhasrat sedemikian rupa, sudah lama tindakan tersebut boleh diambil baik bersama Barisan Nasional (BN) sebelum ini mahupun bersama dengan Pakatan Harapan (PH).


“Ada orang menabur fitnah atau tohmahan kononnya PAS ini cuba untuk mencari jalan hubungan politik dengan UMNO bagi menang pilihan raya jadi kerajaan. Itu sahaja telahan sesetengah pihak dan ianya salah sama sekali.



“Kalau PAS nak menjadi kerajaan, PAS sudah bekerjasama dengan BN daripada dahulu lagi. Kita boleh bekerjasama dan kita boleh menjadi kerajaan bersama dan begitu juga dengan sekarang ini. Kalau PAS nak jadi kerajaan tentulah PAS akan pergi bersama dengan Pakatan Harapan (PH).


Beliau berkata demikian pada program Wacana Penyatuan Ummah anjuran Penerangan UMNO Malaysia yang disiarkan menerusi facebok UMNO-Online, di sini, Rabu malam. Setiausaha Agung UMNO,Tan Sri Annuar Musa turut menjadi panel yang dihoskan oleh Datuk Dr Azizan Abd Majid.


Tegas Takiyudin, dalam sausana UMNO yang tidak lagi menjadi kerajaan, dan PAS pun kebetulannya selama ini menjadi pembangkang kedua-dua parti dapat mewujudkan satu jalinan dan satu hubungan yang mempunyai asas kukuh.



“Dan bukan asasnya ataupun matlamat akhirnya untuk pilihan raya semata-mata tetapi agenda yang lebih besar daripada itu iaitu agenda untuk menyelamatkan ummah, menyelamatkan agama, bangsa dan seterusnya menyelamatkan seluruh rakyat dan negara ini.


“Sebab bagi PAS sebagaimana selalu ditegaskan oleh presiden parti, bagi kita di Malaysia ini kita perlu menerima hakikat bahawa tonggak kuasa politik dan juga pemerintahan ini mestilah Melayu, Islam. Itu yang kita tidak boleh tolak tetapi pada masa yang sama kita tidak boleh menafikan realiti masyarakat majmuk dalam negara kita ini.


“Jadi inilah yang kita buat dalam agenda penyatuan ummah ini. Kita memulakan penyatuan ummah ini sekali lagi sebagai anggota yang mengasaskan penyatuan dan sudah tentulah pasca 14 September ini program atau perancangan kita akan lebih luas lagi, akan lebih inklusif dan ini menunjukkan bahawa satu agenda yang besar… yang tak mungkin terfikir dikalangan sesetangah pihak,” ujarnya.


Tegas beliau penyatuan ummah ini adalah satu tawaran yang diberikan kepada rakyat demi untuk kepentingan negara dan seluruhnya.


Pada masa yang sama beliau turut memaklumkan sambutan diperingkat akar umbi cukup membanggakan dan insya-Allah, 13 dan 14 September ini dokongan dan sokongan daripada seluruh negara akan bersama dengan penyatuan ummah.


”Alhamdulillah diperingkat akar umbi, saya sendiri telah tinjau sambutan dan maklum balas… nampaknya ramailah yang akan turun dengan pelbagai cara, konvoi dan sebagainya. Kita sama-sama doakan himpunan ini berjalan lancer,” tambahnya lagi. – UMNO Online


 


Norlida Ishak Shop