Expired : 18.06.18

Penyokong berang Arsenal lanjut kontrak Luiz

PENYOKONG Arsenal meluahkan kemarahan mereka di media sosial selepas kelab melanjutkan kontrak David Luiz setahun lagi di Emirates.


Pertahanan tengah Brazil itu sepatutnya menjadi ejen bebas selepas tamat perjanjian tetapi Gunners pagi semalam mengumumkan komitmen Luiz untuk terus bersama kelab sehingga 2021.


Luiz, 33, mengharungi musim mengecewakan di utara London sejak berpindah dari Chelsea pada musim panas lalu apabila mempamerkan prestasi tidak konsisten.



Persembahan hambar ketika menentang Manchester City minggu lalu membuatkan penyokong hilang sabar dan mengharapkan itu adalah aksi terakhirnya selepas dia menghadiahkan dua gol lawan selain dilayangkan kad merah.


Tetapi apa yang paling membimbangkan menjadi kenyataan apabila ketenangan pagi mereka dicemari dengan berita Arsenal mengesahkan Luiz akan terus berada di kelab untuk tempoh 12 bulan lagi.


Seorang penyokong dalam Twitter berkata: "Hari indah saya rosak dan saya bangun tidak lebih 30 minit yang lalu."


Seorang lagi berkata: "Dia berasakan dia tiada lagi harapan tetapi pelik dapat peluang tidak disangka."


Penyokong lain yang jelas terlalu kecewa berkata: "Wow! Saya tak dapat nak kata apa-apa melainkan anda adalah pandemik yang lebih besar kepada penyokong Arsenal berbanding Covid-19."


"Apa sudah jadi Arsenal, tak bolehkah anda gembirakan saya hari ini," luah seorang penyokong yang jelas tidak berpuas hati.


Penyokong yang lain memuatkan kembali video promosi jersi baharu Arsenal di tempat sendiri pada musim panas lalu dan berkata: "Anda tahu sebagai penyokong Arsenal, harapan itu yang membunuh kamu."


Selain Luiz, Arsenal mengumumkan perpindahan Pablo Mari secara kekal dengan Cedric Soares turut menandatangani kontrak jangka panjang manakala pemain tengah Sepanyol, Dani Ceballos bersetuju dengan kontrak jangka pendek sehingga tamat hujung musim.