Expired : 18.06.18

Peralihan kuasa: Mesyuarat Majlis Presiden PH putus 21 Februari

KUALA LUMPUR, 19 Jamadilakhir 1441H, Khamis – Datuk Seri Anwar Ibrahim cenderung agar Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menerajui negara sehingga selesai Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dan perkara itu akan dimuktamadkan pada 21 Februari.


Ketua Umum Pakatan Harapan (PH) yang juga Presiden PKR itu berkata perkara itu akan diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Presiden PH pada tarikh berkenaan.


“Saya cenderung agar beliau terus menerajui negara sehingga selesai APEC. Namun perkara ini akan dimuktamadkan dalam Mesyuarat Majlis Presiden PH pada 21 Februari ini,” katanya dalam satu kenyataan.


Malaysia menjadi tuan rumah APEC pada bulan November ini.


Anwar berkata beliau bertemu Dr Mahathir di Putrajaya bagi membincangkan mengenai peralihan kuasa.


Anwar berkata beliau membangkitkan isu itu kerana ada usaha daripada PAS, sekumpulan dari UMNO dan sebilangan kecil dari PKR dipercayai berusaha mendapatkan tandatangan menyokong kepimpinan Dr Mahathir sehingga akhir penggal.


Anwar berkata Dr Mahathir tidak terlibat dalam usaha itu malah mengulangi kenyataan tegas bahawa beliau (Dr Mahathir) akan melepaskan jawatan seperti yang telah dijanjikan.


“Saya turut memaklumkan kepada Perdana Menteri bahawa memandangkan wujud muslihat licik sedemikian maka pimpinan PH dan beberapa rakan lain akan tetap mempertahankan perjanjian Muafakat PH yang dimeterai pada 7 Januari 2018, yakni tegas menyokong kepimpinannya selaku Perdana Menteri Ke-7 dan saya sebagai Perdana Menteri Ke-8,” katanya.


Anwar juga mengingatkan bahawa selama hampir dua tahun usia PH, muafakat yang termeterai tidak pernah digugat oleh mana-mana parti bersekutu – PKR, DAP, Amanah dan Bersatu.- Bernama


The post Peralihan kuasa: Mesyuarat Majlis Presiden PH putus 21 Februari appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.