Expired : 18.06.18

Peraturan Hiburan Terengganu: Wanita MCA Tidak Perlu Gelabah


Peraturan Hiburan Terengganu: Wanita MCA Tidak Perlu Gelabah


1. Berikutan isu penguatkuasaan peraturan hiburan di Negeri Terengganu yang mendapat kritikan dari Wanita MCA, Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) ingin menegaskan bahawa larangan persembahan nyanyian dan tarian wanita tersebut bukanlah bersifat mutlak namun dalam situasi tertentu sahaja. Larangan nyanyian dan tarian wanita hanya dikuatkuasakan dalam persembahan yang melibatkan penonton lelaki, namun tiada larangan jika persembahan melibatkan penonton wanita sahaja.


2. PAS khususnya Dewan Muslimat PAS sendiri sangat menyokong aktiviti hiburan yang sihat. Buktinya pelbagai aktiviti hiburan di bawah Lajnah Kesenian & Kebudayaan dianjurkan namun penjagaan syariat yang menitik beratkan akhlak, moral serta tatasusila tetap diberi penekanan. Wanita mesti dimuliakan dalam apa jua lapangan, tidak seharusnya wanita dibiarkan menjadi objek eksploitasi hedonisme.


3. Justeru itu, Wanita MCA dinasihatkan supaya tidak menggelabah. DMPM percaya bahawa majoriti rakyat Negeri Terengganu bersikap terbuka terhadap sebarang langkah melindungi wanita. Sesungguhnya Islam mempunyai cara yang tersendiri untuk menjaga dan mengangkat maruah wanita.


4. Pada Oktober 2018,Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu telah pun mengeluarkan satu garis panduan persembahan hiburan untuk diikuti oleh para penganjur program hiburan.Panduan persembahan hiburan tersebut menunjukkan konsistensi Kerajaan Negeri dalam menggalakkan hiburan yang menjaga adab dan tatasusila sepertimana dianjurkan Islam.


5. Dewan Muslimat PAS Malaysia(DMPM) dengan ini menyatakan sokongan terhadap penguatkuasaan peraturan hiburan Negeri Terengganu dan menegaskan bahawa DMPM menyokong segala bentuk perlindungan wanita dari eksploitasi. Malah DMPM mengalu-alukan kehadiran Wanita MCA ke majlis-majlis kesenian dan hiburan yang dianjurkan oleh Muslimat PAS dari peringkat cawangan, kawasan , negeri malah nasional dan melihat sendiri betapa kami menyokong hiburan dengan penjagaan tatasusilanya yang tersendiri.


YB Senator Ustazah Nuridah bt Mohd Salleh

Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia

Ahli Dewan Negara (Terengganu)

22hb Februari 2020

28Jamadilakhir 1441H


The post Peraturan Hiburan Terengganu: Wanita MCA Tidak Perlu Gelabah appeared first on Berita Parti Islam Se Malaysia (PAS).