Expired : 18.06.18

Perhimpunan 8 Disember : Pemuda UMNO Dan NGO Melayu Bentuk Pasukan Peguam

KOTA BHARU 27 Nov. – Pergerakan Pemuda UMNO dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu membentuk pasukan khas terdiri daripada 30 peguam bagi menghadapi sebarang isu perundangan ketika perhimpunan aman berlangsung pada 8 Disember depan.



Pengerusi Kluster Peguam Muda Pemuda UMNO, Nik Saiful Adli Burhan berkata, pasukan itu memainkan peranan memberi khidmat nasihat berkaitan perundangan kepada penganjur dan orang ramai yang menyertai perhimpunan tersebut.


Selain itu katanya, pasukan terbabit juga akan bekerjasama dengan pihak berkuasa sekiranya berlaku sebarang tindakan menyalahi undang-undang sepanjang perhimpunan aman berlangsung.


“Pasukan ini terdiri daripada Kluster Peguam Muda Pemuda UMNO yang diketuai saya, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) yang diketuai Zambri Md. Isa serta Pertubuhan Bertindak Peguam dan Intelek Kelantan diketuai Azwan Mat Hussain.


“Pasukan undang-undang ini penting bagi memastikan perhimpunan aman itu terkawal dan mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.


Menurut Nik Saiful Adli, Pemuda UMNO menyokong perhimpunan anjuran gabungan NGO Melayu yang akan diadakan di ibu negara bagi membantah cadangan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).


“Meskipun satu kenyataan media telah dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri mengenai keputusan untuk tidak meratifikasi ICERD, saya percaya ia tidak dibuat secara teratur mengikut formaliti, sedangkan ia satu keputusan melibatkan dasar luar kerajaan.


“Perkara ini juga melibatkan kepentingan rakyat, lebih-lebih lagi apabila terdapat percanggahan dengan Perlembagaan Persekutuan,” katanya. – UtusanOnline



Norlida Ishak Shop