Expired : 18.06.18

Peringatan untuk Anwar


BANGI, 27 Rabiulakhir 1440H, Jumaat – “Anwar naik mencacak. Dalam masa 11 tahun beliau naik daripada anak ayam berbulu pahat kepada Timbalan Perdana Menteri dan bakal pengganti Dr Mahathir.


“Apa yang berlaku selepas itu adalah sejarah dan kita sering diingatkan melalui hujah ahli falsafah George Santayana bahawa orang yang lupa (kejadian) masa lampau akan mengulangi kesilapannya.”


Demikian ditegaskan Penasihat Media dan Komunikasi di Pejabat Perdana Menteri, Datuk A Kadir Jasin, sebelum menutup tulisannya dengan memetik kata-kata Ibnu Khaldun dalam bukunya yang agung ‘Muqaddimah’ (1377), dan mengajak semua pihak ‘belajar daripada sejarah’.


Tokoh Wartawan Negara itu membuat ulasan berhubung kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang sering berkata beliau tidak pandai memilih pengganti dan kali terakhir mengulanginya ketika menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung Tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Putrajaya, 30 Disember lalu.


“Saya tidak mahu mempersoalkan sama ada beliau bersungguh-sungguh atau berseloroh apabila membuat kenyataan itu. Sebaliknya saya berpendapat Tun Dr Mahathir mematuhi peraturan di dalam memilih pengganti atau bakal pengganti.


“Apa yang berlaku kepada pengganti atau bakal pengganti lebih berupa masalah dan pilihan mereka sendiri. Daripada pengamatan saya, Dr Mahathir sentiasa dipandu oleh kehendak dan keputusan parti di dalam membuat pilihan pengganti dan bakal pengganti.


“Atas alasan itulah beliau membawa masuk semula dan memberikan jawatan kepada banyak orang yang menentang beliau dalam parti dan kerajaan,” katanya menulis dalam blog beliau, hari ini.


Beliau mengimbas semula langkah Dr Mahathir melantik semula individu yang menentang beliau pada 1987. Ini termasuk,Tun Abdullah Ahmad Badawi, yang dilantik semula sama ada di dalam UMNO atau Kabinet, sehingga akhirnya menjadi Perdana Menteri.


Kadir turut mengimbas semula bagaimana pemilihan Dr Mahathir terhadap Tun Musa Hitam suatu ketika dahulu sebagai Timbalan Perdana Menteri, dan sejarah yang dilalui kedua-duanya sehingga terkenal dengan gelaran ‘2M’ ketika itu.


“Anwar adalah pilihan Dr Mahathir. Tidak sampai setahun menjadi Perdana Menteri beliau membawa Anwar masuk UMNO dan dalam masa tidak sampai sebulan mencalonkan beliau sebagai wakil Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum (PRU) 1982.


Anwar merampas kerusi Parlimen Permatang Pauh daripada penyandang PAS, Allahyarham Yusof Rawa. Mengalu-alukan kemenangan Anwar, Dr Mahathir menyifatkan beliau sebagai anak ayam baru tumbuh bulu pahat, tetapi sudah diterima oleh rakyat jelata sehingga mampu mengalahkan gergasi politik ketika itu.


“Anwar naik mencacak. Dalam masa 11 tahun beliau naik daripada anak ayam berbulu pahat kepada Timbalan Perdana Menteri dan bakal pengganti Dr Mahathir.


“Apa yang berlaku selepas itu adalah sejarah dan kita sering diingatkan melalui hujah ahli falsafah George Santayana bahawa orang yang lupa (kejadian) masa lampau akan mengulangi kesilapannya,” katanya.


Kadir berkata, oleh itu, bukan salah cara Dr Mahathir memilih pengganti, sebaliknya individu yang menjadi pengganti atau bakal pengganti itu yang ‘menembak kaki mereka sendiri’.


The post Peringatan untuk Anwar appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop