Expired : 18.06.18

Perjuangan PAS Fokus 2 Perkara


Oleh : Wan Nur Aziezan Baharuddin


Bandar Tun hussein Onn, 7 April 2019- YB Ustaz Muhammad Khalil b. Abdul Hadi, Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menerangkan 2 fokus utama perjuangan PAS ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali ke 35 PAS Kawasan Serdang di Dewan Seri Kasih Bandar Tun Hussein Onn hari ini.


Fokus utama adalah Tashih Mafahim iaitu membetulkan kefahaman politik bahawa sesungguhnya PAS adalah sebuah parti yang menjadikan Islam sebagai wadah perjuangan.


“Islam adalah satu-satu agama yang mempunyai ideologi politik. Politik Islam yang diperjuangkan PAS adalah berasaskan aqidah. Melibatkan dosa pahala dan halal haram.


” Kita bukan faham dosa dan pahala dalam urusan ibadah sahaja tetapi politik Islam adalah salah satu pintu yang membuka ruang pahala yang banyak dan besar daripada Allah SWT”. Ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu ini.


Beliau turut memberi contoh melalui sirah nabi terdahulu bagaimana mereka berpolitik dalam mentadbir dan mengurus Bani Israel sambil menekankan ciri-ciri golongan yang berada dalam lindungan Arash Allah pada hari kiamat.


“Ciri pertama yang disebut dalam hadis Nabis SAW berkenaan 7 golongan yang mendapat lindungan Arash Allah adalah Imam yang adil.


” Imam yang adil adalah mereka yang memerintah dengan adil dan saksama. Mereka juga adalah orang politik yang mentadbir dengan keadilan”. Kata YB Ustaz Khalil.


Manakala, fokus kedua pula adalah *Raddus Syubhah* iaitu menjawab semua perkara syubhah yang ditimbulkan.


Menurut YB Ustaz Khalil, syubhah pertama yang ditimbulkan adalah PAS merupakan parti perkauman apabila PAS membuat muafakat dengan UMNO.


“Apabila berlaku muafakat PAS-UMNO, parti ini dilabel sebagai parti perkauman dimana kaum dan bangsa lain dimomokkan bahawa mereka akan ditindas.


” Saya ingin menegaskan, politik Islam yang dibawa PAS adalah sebuah parti yang inginkan keamanan dan kedamaian.


” Atas asas politik Islam dan amalan demokrasi, melayu perlu memerintah negara ini kerana sesebuah negara yang inginkan keamanan dan keharmonian perlu dipimpin oleh bangsa dan qabilah terkuat.


” Dalam amalan demokrasi, Jepun tidak memilih orang Inggeris sebagai Perdana Menteri, Negara China tidak memilih orang India sebagai Presiden. Maka, bila kata melayu mesti memimpin, bukan bermaksud kaum lain ditindas tetapi ia adalah meraikan amalan demokrasi yang kita amalkan di Malaysia hari ini .”


Syubhah kedua yang ditimbulkan adalah PAS merupakan Parti Taliban. Menurut YB Ustaz Khalil, isu ini dikeluarkan kerana pemerintah sekarang ingin mengalih pandangan rakyat.


” Banyak isu DAP hari ini seperti isu terowong, janji-janji yang tidak ditepati dan manifesto yang tidak tertunai. Maka, mereka telah mengalih pandangan rakyat dengan membuat isu PAS Taliban”.


Dalam menjawab syubhah ketiga iaitu PAS menyokong penipuan, rasuah dan kemungkaran, Yb Ustaz Khalil menegaskan bahawa PAS adalah sebuah parti yang sentiasa menegur dan menasihati setiap kesalahan yang dibuat secara baik.


“PAS adalah parti yang sentiasa menegur secara baik jika terdapat kesalahan yang dilakukan. Perkara ini berlaku sejak Barisan Nasional (BN) memerintah lagi.


” Kita bukan parti yang membuat demonstrasi jalanan atau buat undi tak percaya untuk jatuhkan kerajaan, tapi PAS menegur supaya kebaikan dapat dirasai semua terutama untuk kepentingan rakyat.


” PAS dengan konsep taawun siyasi, melalui agenda perpaduan ummah dalam gagasan sejahtera, ikatan bersatu untuk menyelamatkan negara supaya Malaysia tidak jadi negara yang punah pada masa akan datang, untuk generasi akan datang.”


Ketua Pemuda DPPM ini akhirnya menyatakan kebimbangan beliau terhada generasi muda yang sarat dengan emosi berbanding rasional dan mengharapkan semua ahli muktamar memikirkan berkenaan golongan ini .


” Generasi muda akan tentukan masa depan negara. Mereka bersemangat tinggi, lebih emotional berbanding rasional.


“Pakatan Harapan (PH) mengambil peluang ini dengan membuat pelbagai persepsi dan berjanji dengan janji yang wow, lalu keputusan pilihanraya lepas adalah berdasarkan semangat, lalu, hari ini ramai yang menyesal”.


“Kita perlu sama-sama memikirkan berkenaan generasi muda ini kerena mereka adalah penentu yang besar dalam pilihanraya umum akan datang”





The post Perjuangan PAS Fokus 2 Perkara appeared first on Berita Parti Islam Se Malaysia (PAS).


Norlida Ishak Shop