Expired : 18.06.18

Permohonan Bantuan Dipermudah Untuk Penyaluran Segera -Zulkifli

PUTRAJAYA, 26 Mac – Permohonan bantuan daripada agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), bagi golongan yang terkesan dengan wabak COVID-19 merentasi fahaman politik, negeri, warna kulit dan agama, dipermudahkan agar penyalurannya dapat disegerakan.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata sebagai contoh, permohonan kepada Majlis Agama Wilayah Persekutuan akan dipermudahkan, dengan hanya menghantar dokumen yang diperlukan melalui aplikasi Whatsapp tanpa perlu ke pejabat.


Beliau berkata jumlah bantuan melalui agensi-agensi di bawahnya serta jumlah penerima manfaat, akan diumumkan tidak lama lagi.


“Saya ingin tekankan bahawa bantuan ini tidak terhad kepada orang Islam sahaja, tetapi orang-orang yang memerlukan bantuan, yang mana ada peruntukan-peruntukan yang lain,” katanya pada sidang media di sini hari ini.


Terdahulu, Zulkifli mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Musaadah COVID-19 yang antara lain memutuskan semua agensi di bawahnya akan diselaraskan, untuk membantu rakyat yang terkesan dengan COVID-19.


“Penyelarasan ini, satu gerak kerja yang menunjukkan kebersamaan yang bersasar dan berfokus, agar sampai kepada mereka yang memerlukan,” katanya, sambil menambah kerjasama itu turut melibatkan majlis agama negeri-negeri.


Beliau juga berkata, jenis skim bantuan zakat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan diwar-warkan, serta boleh dirujuk kepada Baitulmal dan Pusat Pungutan Zakat, dan akan disalurkan seberapa segera.


Dalam pada itu ditanya jika tempoh PKP itu dilanjutkan sehingga ke bulan Ramadhan, Zulkifli berkata perkara itu akan dibincangkan.


“(Tempoh PKP) sebenarnya kita akan bincang dan ada plan A, B dan C namun yang penting, perkara pertama yang kita lihat adalah masalah yang lebih besar, iaitu masalah untuk memutuskan rantaian COVID-19 ini, supaya tidak lagi wujud dan berjangkit,” katanya.


Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mengumumkan tempoh PKP akan dilanjutkan sehingga 14 April. – BERNAMA