Expired : 18.06.18

Pertandingan Robotik “Make X Malaysia” Peringkat Kebangsaan Asuh Bakal Pakar Robotik Negara

Laporan MajalahSains



Cyberjaya: Seramai 64 Murid sekolah rendah dan menengah di seluruh Malaysia telah berentap dalam pertandingan Robotik MakeX peringkat kebangsaan yang bertempat di Sekolah Seri Puteri Cyberjaya Sabtu lalu.



Pertandingan ini merupakan kerjasama antara Program Kejuruteraan Elektrik & Elektronik, Fakulti Kejuruteraan & Alam Bina (FKAB), Universiti Kebangsaan Malaysia yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Hafizah Husain selaku penasihat teknikal Pertandingan Robotik Make X Malaysia dan Syarikat Telaga Biru Sdn. Bhd.


Pemenang sekolah Menengah Agama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (SMA MAIWP)


MakeX adalah acara robotik bertaraf antarabangsa yang berasal dari China dan mengetengahkan matlamat untuk mempromosikan pendidikan STEM (Science, Technology, Engineering, Mathematics).


Dalam pertandingan tersebut, para pelajar dikehendaki melakukan pengaturcaraan terhadap unit mBot untuk menyelesaikan beberapa tugasan.


Bertemakan misi menyelamatkan bumi yang telah tercemar, mBot tersebut perlu direka cipta dan diatur cara supaya mampu untuk mengasingkan sampah sarap, menyelenggara stesen jana kuasa termal, menutup suis kuasa, mengalih bahan buangan pembinaan, dan memeriksa data air bawah tanah.


Kesemua elemen tersebut disimulasikan di atas litar khas yang disediakan pihak penganjur, di mana unit mBot tersebut perlu berfungsi sendiri tanpa campur tangan peserta.


Sebagai contoh, bagi misi pengasingan sampah sarap, mBot tersebut perlu  mengenal pasti dan menyusun sampah dengan warna yang berbeza ke dalam tong sampah yang sama warna.


Bagi misi menutup suis kuasa pula, mBot dikehendaki memusingkan suis kuasa sebanyak 270 darjah.


Bagi menyempurnakan tugasan – tugasan tersebut, para pelajar diajar dan didedahkan dengan pengaturcaraan mBlock menggunakan perisian Scratch.


Mereka kemudian dikehendaki untuk mengatur cara unit mBot tersebut sebelum dibawa masuk ke dalam litar.



Pemenang dinilai berdasarkan beberapa kriteria seperti bilangan tugasan yang disiapkan oleh mBot, kecepatan masa, keselamatan dan bilangan penalti.


Johan pertandingan robotik kebangsaan tersebut adalah Sekolah Menengah Agama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (SMA MAIWP).


Pasukan mereka akan dihantar untuk bertanding mewakili Malaysia di Pertandingan Antarabangsa Robotik Make X di Shenzen, China pada Disember ini.


 



9626total visits,391visits today


Norlida Ishak Shop