Expired : 18.06.18

Perutusan Ketua Muslimat PAS Negeri Selangor Sempena Hari Guru 2018

Firman Allah SWT dalam Surah Al Mujadilah: 11


…يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ…


”Allah akan mengangkat darjat orang-orang yang beriman dan orang-orang yang berilmu beberapa darjat”


Guru sebagai pendidik menggalas tanggungjawab untuk melahirkan sumber manusia yang berjaya dan cemerlang. Guru berperanan utama menitiskan ilmu untuk difahami dan diimplimentasi.


Islam mengiktiraf peranan guru sebagai suatu tugas yang mulia. Selain contoh didikan yang diberikan oleh ibubapa dirumah, anak didik melihat seorang guru juga sebagai satu tauladan untuk diikuti. Seorang guru sudah semestinya perlu mempunyai kualiti sahsiah dan akhlak terpuji sehingga berupaya mentransformasikan tarbiyyah berkesan.


Sesungguhnya, beruntunglah wahai guru, kerana setiap kebaikan yang dilakukan oleh anak didik akan mengalir sebagai jariah.


Dari Abu Mas’ud Uqbah bin Amir Al Anshari radhiyallahu ‘anhu, ia berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda,


مَنْ دَلَّ عَلَى خَيْرٍ فَلَهُ مِثْلُ أَجْرِ فَاعِلِهِ

“Barangsiapa yang menunjuki kepada kebaikan maka dia akan mendapatkan pahala seperti pahala orang yang mengerjakannya.”

(HR. Muslim no. 1893).


Marilah kita contohi Rasulullah S.A.W sebagai Murobbi Agung. ‘Kepimpinan Melalui Tauladan’ begitulah baginda diutuskan untuk menjadi qudwah hasanah kepada umat manusia. Kehidupan baginda sebagai seorang pendidik dapat dilihat dalam semua aspek pengurusan kehidupan. Baginda bukan sahaja istiqamah mentarbiah sahabat tentang berjaya di dunia bahkan lebih lagi cemerlang di akhirat.


Para guru pendidik anak bangsa,

Haruslah sentiasa memelihara niat untuk memberi ilmu dengan ikhlas kerana Allah S.W.T dan menitik beratkan pendidikan ukhrawi dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Para guru hendaklah berusaha memastikan anak didik hari ini menjadi seorang yang bermanfaat kepada agama, bangsa dan negara bertepatan dengan tema hari guru 2018 “Guru Pemacu Tranformasi Pendidikan “.


Guru-guru hari ini dituntut untuk berjiwa besar dan bersedia berhadapan dengan arus perdana yang sangat mencabar. Diantara peranan utama adalah memiliki ilmu dan kemahiran yang luas termasuk psikologi dan methodologi. Guru perlu kehadapan dan menjadi aktor penting dalam melihat, menilai dan menyumbang kepada usaha-usaha pembinaan modal insan yang seimbang. Kejayaan melahirkan masyarakat Rabbani pada hari ini, memerlukan sentuhan daripada guru yang berjiwa besar.


Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada semua guru kerana tidak jemu dan istiqamah menggalas peranan sebagai pendidik. Dan, Allah jugalah sebaik-baik pemberi balasan di atas penat lelah dan usaha menabur bakti kepada anak bangsa.


Selamat Hari Guru 2018

“Guru Pemacu Transformasi Pendidikan”


USTAZAH WAN HASRINA WAN HASSAN

Ketua,

Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor

29 Syaaban 1439H | 15 Mei 2018


The post Perutusan Ketua Muslimat PAS Negeri Selangor Sempena Hari Guru 2018 appeared first on Berita Parti Islam Se Malaysia (PAS).


Norlida Ishak Shop