Expired : 18.06.18

Pesawat ke Singapura cabar kedaulatan kita lalui kawasan larangan terbang


BANGI, 27 Rabiulakhir 1440H, Jumaat – Tanpa mempedulikan ‘Kawasan Larangan’ yang diisytiharkan Malaysia, beberapa pesawat dilaporkan menceroboh ruang udara Pasir Gudang, Johor, sebelum mendarat di Lapangan Terbang Seletar, Singapura.


Tindakan pesawat itu, yang tidak diambil apa-apa tindakan oleh pihak berkuasa Malaysia, dilihat sebagai langkah ‘berani’ pihak asing mencabar kedaulatan Malaysia, tatkala Singapura melaksanakan Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) pesawat mulai semalam.


Biasanya, sesebuah negara akan menghantar jet pejuang untuk menghalau mana-mana pesawat yang menceroboh ruang udara negara mereka, apalagi di kawasan yang diisytiharkan secara rasmi sebagai ‘kawasan larangan’.


Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) sebelum ini, mengisytiharkan ruang udara Pasir Gudang sebagai ‘Kawasan Larangan’ pada Rabu lalu, melalui Notis Kepada Juruterbang (NOTAM) yang dikeluarkan 25 Disember.


Sebelum ini, Singapura mendakwa mereka perlu melaksanakan tatacara penerbangan ILS bagi laluan pendaratan sebelah utara dan selatan ke Lapangan Terbang Seletar, yang terpaksa menggunakan ruang udara Johor, terutama melalui Pasir Gudang.


Republik itu dilaporkan memaklumkan pelaksanaan ILS pada mesyuarat antara Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) dan CAAM, 29 November 2018.


Malaysia bagaimanapun, membantah penguatkuasaan ILS kerana ia boleh merencatkan pembangunan di kawasan Pasir Gudang, selain menjejaskan operasi perkapalan di Pelabuhan Pasir Gudang yang terletak berdekatan lapangan terbang berkenaan.


Pada 28 dan 29 November 2018 Kuala Lumpur memaklumkan kepada Singapura mengenai keputusan Malaysia untuk tidak membenarkan mereka meneruskan penyiaran tatacara ILS.


Tetapi, hari ini beberapa pesawat dilaporkan tidak mempedulikan bantahan Malaysia dan menggunakan ruang udara Johor untuk mendarat di Lapangan Terbang Seletar.



Memetik laporan Berita Harian (BN), beberapa pesawat ringan dan kapal terbang dilihat berlegar di ruang udara Malaysia sebelum mendarat di Lapangan Terbang Seletar ,susulan penguatkuasaan tatacara Sistem Pendaratan Instrumen (ILS), bermula semalam.


Tinjauan oleh wartawan BH, Mohd Fahmi Mohd Yusof, di sekitar kawasan pusat bandar sejak jam 9 pagi semalam mendapati sebuah pesawat besar dan kira-kira enam pesawat ringan memasuki ruang udara negara, berhampiran Pelabuhan Johor bagi membuat pusingan sebelum mendarat di Lapangan Terbang Seletar di Singapura.


Berdasarkan pemerhatian, kekerapan setiap pesawat ringan mendarat di Lapangan Terbang Seletar yang terletak kira-kira 2 kilometer daripada Pasir Gudang merentasi Selat Johor adalah sekitar setiap 15 hingga 30 minit.


Sementara itu, Bernama melaporkan, Menteri Luar Malaysia dan Singapura akan bertemu di republik itu pada 8 Januari ini bagi membincangkan isu berbangkit antara dua negara, termasuk isu ruang udara dan sempadan maritim.


Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, dalam pertemuan antara Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah dan rakan sejawatannya Vivian Balakrishnan itu nanti, mereka akan berbincang antaranya mengenai tatacara Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) Lapangan Terbang Seletar dan pencerobohan perairan Pantai Tuas.


Katanya, CAAM akan menyiasat jika berlaku pelanggaran berhubung pencerobohan ruang udara Pasir Gudang, Johor oleh pesawat yang keluar masuk di Lapangan Terbang Seletar sebagaimana yang dilaporkan media hari ini.


BERITA BERKAITAN https://www.ismaweb.net/2018/12/15/kedaulatan-negara-isma-desak-kerajaan-tak-tunduk-permintaan-singapura/


The post Pesawat ke Singapura cabar kedaulatan kita lalui kawasan larangan terbang appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop