Expired : 18.06.18

Pesta ronggeng: SIS patut tukar nama Sisters Against Islam

Oleh Siti Fatimah Ishak


BANGI, 24 Jamadilakhir 1441H, Selasa – Pertubuhan liberal yang sudah difatwa sesat, Sister In Islam sepatutnya tidak diberikan ruang atau pentas untuk terus merosakkan pandangan terhadap Islam, termasuk menganjurkan pesta ronggeng yang dianggap agak melampau.


Ketua Wanita gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Dr Ustazah Suriani Sudi berkata, SIS yang lantang memberi sokongan kepada seks songsang lebih cenderung untuk mengikut jejak langkah Barat dalam setiap aktiviti mereka.


Katanya, dasar perjuangan SIS jauh daripada nilai-nilai fundamental Islam, justeru mereka tanpa segan silu menyokong lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), menentang keras ‘child marriage’.


“Tetapi senyap sunyi tentang penzinaan di kalangan remaja. Pakaian menutup aurat dianggap arabisasi, tetapi budaya hedonisme seperti ini dikatakan sebahagian daripada budaya masyarakat.


“Mereka tidak layak dipanggil sebagai Sisters In Islam kerana setiap tindakan hanya mencemar dan mengotorkan pandangan terhadap Islam.


“Seharusnya mereka menukar nama kepada Sisters Against Islam. Mereka tidak mencari keindahan Islam, malah mensensasikan berita-berita yang boleh membawa imej buruk kepada Islam,” katanya kepada Ismaweb, hari ini.


Beliau berkata demikian mengulas penganjuran Pesta Ronggeng oleh SIS, kononnya untuk mendapatkan sumbangan penajaan kerja amal yang dijalankan mereka.


Pesta berkenaan turut dihadiri oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.


Mengulas lanjut, Dr Suriani yang juga Pensyarah di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) berkata, walau apa saja alasan SIS, hasrat mereka untuk mengumpul dana dengan cara sedemikian bertentangan dengan syarak.


Katanya, Islam tidak menghalalkan perkara yang bertentangan syarak walaupun matlamatnya baik.


“Pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan dalam majlis tari menari bukanlah cara yang betul di dalam Islam.


“Pesta ronggeng adalah budaya yang dibawa masuk oleh penjajah Barat. Kita tak mahu anak-anak Melayu terpengaruh dengan budaya kuning ini,” katanya.


The post Pesta ronggeng: SIS patut tukar nama Sisters Against Islam appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.