Expired : 18.06.18

PH Perak ‘bergoncang’ lagi, Exco didakwa minta ‘komisyen’ jualan tanah

BELUM pun reda isu kes rogol melibatkan seorang exco, kerajaan negeri Perak hari ini dihambat satu lagi pendedahan mengenai tindakan seorang lagi exco kerajaan negeri yang dituduh meminta ‘komisyen’ daripada dua syarikat berhubung permohonan tanah milik kerajaan.


Perkara itu didedahkan sendiri AJK Cabang PKR Parit Buntar, Beh Yong Kean yang juga bekas pegawai khas Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan, Abdul Yunus Jamhari.


Dalam laporan polis yang dibuatnya hari ini, Yong Kean mendakwa exco itu berniat memberi sokongan kepada permohonan dua syarikat itu dengan komisyen sebagai pertukaran.


Lebih mengejutkan, Yong Kean mendakwa, exco itu membocorkan minit mesyuarat kerajaan negeri kepadanya agar dia dapat memulakan proses rundingan dengan dua syarikat itu.


“Pada 4 Oktober 2018, lebih kurang 9.30 malam di pejabat pusat khidmat adun, dia membocorkan kertas minit mesyuarat majlis mesyuarat kerajaan negeri Perak kepada saya supaya memulakan rundingan dengan (dua syarikat itu) untuk permohonan milikan tanah kerajaan seluas 63 ekar di Bagan Tiang dan 30 ekar di Kuala Kurau.


“Dia mengarahkan saya supaya meminta komisyen daripada kedua-dua syarikat itu untuk sokongannya dalam mesyuarat masjlis mesyuarat negeri,” dakwanya dalam laporan polis tersebut.


Laporan polis tersebut turut tersebar di laman sosial termasuk melalui aplikasi Whatsapp.


Beh juga mendakwa seorang lagi bekas pegawai khas exco itu turut menyaksikan kejadian itu.


Dalam satu kenyataan media, Beh berkata tindakan membocorkan minit mesyuarat kerajaan negeri melanggar Akta Rahsia Rasmi 1972 dan menggesa polis agar menyiasat perkara itu.


“Sebagai wakil rakyat dan exco, dia tidak harus membocorkan rahsia kerajaan dan menggunakan kedudukan untuk meminta rasuah.


“Saya harap polis menyiasat secara adil tanpa melihat kedudukannya dalam kerajaan,” katanya lagi.


Sebelum ini, kerajaan Perak menjadi tumpuan apabila seorang Exco Kerajaan Negeri Perak, Paul Yong disiasat polis selepas pembantu rumahnya mendakwa pemimpin DAP itu merogolnya.


Ekoran itu, Yong ditahan sebelum dibebaskan manakala wanita berkenaan kini dalam perlindungan polis sementara siasatan lanjut dijalankan.


 


The post PH Perak ‘bergoncang’ lagi, Exco didakwa minta ‘komisyen’ jualan tanah appeared first on NewMalaysianPost.com.


Norlida Ishak Shop